KUALA LUMPUR: Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak diarah menjalani hukuman penjara kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pula didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar.
Rosmah, 70, gagal dalam pembelaannya untuk membuktikan bahawa beliau tidak terbabit dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Rosmah selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 10Â tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, Rosmah hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Mohamed Zaini memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Semasa meminta hukuman ringan, Rosmah menangis ketika memaklumkan Mohamed Zaini bahawa beliau tidak bersalah kerana tidak pernah terfikir untuk menggelapkan wang negara.
Rosmah yang kelihatan begitu emosional berkata beliau adalah mangsa dalam kes ini kerana tidak pernah meminta rasuah.
Semalam, Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan dalam kes itu atas alasan berlakunya kebocoran penghakiman yang tular di media sosial pada 26 Ogos lepas.
Terdahulu, pihak pendakwaan membantah permohonan Rosmah supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya.
Pasukan pembelaan Rosmah memaklumkan mahkamah bahawa terdapat risiko berat sebelah di pihak Mohamed Zaini sekiranya beliau terus mendengar kes itu kerana wujudnya ‘draf penghakiman.’
Mohamed Zaini kemudian menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan beliau dan berkata dokumen terbabit (kononnya penghakiman kes Rosmah yang bocor) bukanlah alasan penghakiman yang disediakan olehnya dan beliau tidak akan menggunakan ia dalam penghakiman.
Katanya keputusan dalam kes Rosmah adalah dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh mewakili Rosmah.
Rosmah, yang memakai baju kurung dan selendang kuning, tiba di mahkamah pada 8.54 pagi. Turut hadir dua anaknya, Nooryana Najwa dan Noorashman.
Kira-Kira 50 pengamal media dari dalam dan luar negara mula berkumpul seawal 7 pagi bagi membuat liputan kes berprofil tinggi itu.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Pada 18 Feb 2021, Rosmah diperintah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pihak pembelaan menutup kes pada 23 Feb selepas memanggil dua saksi iaitu tertuduh sendiri dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod. – BERNAMA