HomeBeritaBPN sertai PRU15, tapi bukan berebut kuasa

BPN sertai PRU15, tapi bukan berebut kuasa

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) memberi bayangan akan menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun tidak mahu dilihat sebagai parti setahun jagung mahu berebut kuasa.

Presidennya, Datuk Ibrahim Yahya berkata jihad parti itu adalah membangunkan semula ekonomi rakyat dan negara, malah usaha itu sudah pun dilaksanakan secara berperingkat membabitkan kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, justeru BPN memutuskan untuk memasuki ruang di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“BPN bukan ditubuhkan untuk merebut kuasa, tetapi untuk ekonomi rakyat dan memastikan rakyat tidak susah di negara sendiri, tidak merempat di negara sendiri dan dapat hidup selesa.

“Memandangkan BPN baru setahun jagung, kita tak mahu ‘fight’ mana-mana parti kerana BPN untuk ekonomi bukan untuk kuasa.

“Kita tak mahu pihak politik menganggap BPN cuba nak ‘hijack’ mereka, cuma nak mereka sedar dan tahu BPN ini untuk ekonomi rakyat, kerana semua yang terlibat dianggotai hanya ahli perniagaan dan pakar ekonomi,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, di sini.

Ibrahim yang juga ahli perniagaan itu turut menjelaskan, parti BPN bebas daripada sebarang rasuah kerana itu antara syarat penting kerjasama dengan kerajaan Eropah, ketika ini.

“Pihak Europe maklumkan saya untuk mengadakan perbincangan hala tuju dua negara melalui jemputan khas pada 16 Julai depan.

“Jadi, antara syaratnya adalah memastikan negara, BPN bersih daripada rasuah kerana ini adalah permintaan luar. Jika tidak, negara tidak akan maju,” katanya.

Katanya, BPN sebagai platform pertubuhan rakyat sudah pun diketahui di Eropah dan Filipina, malah mendakwa bersetuju untuk berganding bahu bersama Malaysia untuk merealisasikan jihad ekonomi rakyat dan negara.

BPN juga mendakwa sudah mempunyai seramai lima juta keahlian.

Author

Pilihan Editor