HomeBeritaBPN jalin kerjasama dengan kartel ayam turun harga

BPN jalin kerjasama dengan kartel ayam turun harga

KUALA LUMPUR: Di kala kerajaan bertungkus lumus mahu hapuskan kartel, Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) pula mengambil tindakan sebaliknya.

BPN berjaya mengadakan rundingan dengan kartel ayam terbesar di negara ini untuk memastikan harga ayam tidak dinaikkan.

Presiden BPN, Datuk Ibrahim Yahya berkata, pihak kartel ayam setuju untuk beri kerjasama iaitu menerusi satu peruntukan diberi kepada mereka.

“Kami borong semua ayam, edar semula kepada rakyat Malaysia khususnya untuk golongan B40 atau bawah untuk pastikan harga tidak melambung tinggi.

“Kartel hendak duit sahaja untuk mereka “rolling” perniagaan mereka yang dikuasai kaum tertentu sahaja, tetapi cara BPN bukan guna kaedah rasuah.

“Semua urusniaga berlaku ‘atas meja’ bukan ‘under table’. Ini formula untuk atasi isu kartel.

“Dana yang digunakan untuk memborong semua ayam ini adalah hasil perniagaan kami yang sudah bertapak lama di beberapa negara termasuk di Brazil dan Eropah,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific semalam.

BPN adalah parti politik terdiri daripada golongan ahli korporat dan pelabur-pelabur yang bimbang nasib rakyat jika ekonomi tidak dipulihkan.

Kebangkitan mereka bukan untuk merebut kuasa sebaliknya menjemput semua parti politik bergabung bersama demi masa depan rakyat.

Dalam pada itu, Ibrahim memberitahu, BPN memiliki tempat strategik di Tok Bali Kelantan.

“Bekalan ayam, ikan, daging segar dikumpulkan di sana untuk rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu beli ikan lama sebab nanti timbul penyakit macam-macam untuk rakyat.

“BPN juga sedang bekerjasama dengan negara Eropah di mana mereka ada formula dan teknologi untuk mengatasi isu bekalan makanan,” katanya.

BPN dijadualkan untuk terbang ke Eropah pada waktu terdekat bagi mengadakan rundingan dan persefahaman bersama antara dua hala dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat.

Parti ini juga dijangka akan melancarkan kedai mart mereka yang bakal beroperasi di Selangor dan Terengganu.

Author

Pilihan Editor