KUALA LUMPUR: Sebanyak sejuta unit rumah secara percuma khusus kepada golongan bersasar B40 berpendapatan RM1,500 dan ke bawah antara jaminan parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) untuk rakyat Malaysia.
Parti baharu yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Ibrahim Yahya itu turut menawarkan beberapa jaminan menarik kepada ahli dengan perbelanjaan keseluruhan operasi berjumlah RM100 bilion.
Katanya, ahli secara automatik akan menerima manfaat skim khairat kematian berjumlah RM20,000 selain pemegang kad bank terpilih yang membolehkan ia digunakan bagi rawatan percuma di mana-mana klinik atau hospital pakar.
“Agenda utama BPN sebenarnya untuk membantu melonjakkan ekonomi rakyat dan negara sebab kita ada bergabung dengan negara-negara besar dari segi perumahan yang telah menaja untuk pihak saya beri secara percuma.
“Semua ahli juga akan diberi satu insurans khairat kematian di mana kita akan bagi RM20,000 sekiranya berlaku kematian dalam keluarga, itu keistimewaan pada ahli.
“Selain itu, kad bank mungkin RHB, UOB, HSBC atau Maybank yang boleh bawa kad itu untuk dapatkan rawatan percuma termasuk penyakit kronik di klinik pakar,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat BPN, di Hotel Seri Pacific, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai agenda utama BPN selain memfokuskan ekonomi rakyat dan negara serta penyatuan parti dalam negara.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, BPN bukan parti yang membawa manifesto semata-mata tetapi berdedikasi dalam pelaksanaannya.
“Apa yang dibentangkan dalam mesyuarat hari ini adalah ekonomi. Jadi, BPN bukan berjanji dulu, tetapi buat dulu.
“Ini bukan janji kosong. Saya berharap dengan munculnya parti baharu ini, dapat menyedarkan semua parti lain untuk bersama membangunkan ekonomi dengan peruntukan sedia ada supaya manfaat dapat dirasai bersama,” katanya.
Katanya, pertubuhan baru berdaftar itu juga sudah mula mengedarkan borang pendaftaran ahli secara percuma.