HomeBeritaKemboja model contoh negara pertanian

Kemboja model contoh negara pertanian

PETALING JAYA: Malaysia boleh mengambil contoh negara jiran, Kemboja sebagai model negara pertanian bagi mengatasi bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan dengan negara asing.

Ini kerana, kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif sekuriti makanan negara bagi tempoh jangka masa sederhana dan panjang bagi menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Lebih-lebih lagi selepas rakyat yang bangkit semula membina kembali kehidupan terjejas akibat pandemik dan bencana alam.

Bagaimanapun, Kemboja tidak menghadapi isu bekalan makanan untuk rakyat di negara itu malah ketika berlakunya tempoh pandemik COVID-19, pada 2020.

Ia diakui sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan.

Othsman berkata, Kemboja adalah wilayah pertanian yang mana sumber pendapatan  adalah daripada rangkaian bekalan makanan tempatan.

“Untuk makluman, di Kemboja, negeri yang mendapat ‘income’ daripada pertanian. Kalau kira, padi tidak kurang, beras juga tidak kurang, begitu juga sayur tidak kurang.

“Bagaimanapun, Kemboja mengimport bahan api seperti petrol, jadi mahal di sini. Barangan untuk kita pakai ada meningkat sehingga 18 ke 20 peratus tetapi makanan tiada isu,” katanya pada sidang media mengulas isu sekuriti makanan di negara itu termasuk tempoh pandemik.

Terdahulu, Othsman mengadakan kunjung hormat ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) yang diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, di Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, di sini.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, Kemboja akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak Majlis Ekonomi ASEAN tahun ini dan meminta negara itu dapat membawa isu berkaitan peranan ANGKASA.

“Ada beberapa itu kita minta Kemboja bawa kepada kepimpinan dalam ASEAN Economy Council bagi mengetahui kedudukan koperasi.

“Kita nak peranan koperasi lebih jelas. Sekarang, tidak jelas, hanya disebut untuk sektor pertanian dan berkaitan sahaja sedangkan ia meliputi semua sektor dan pada masa yang sama, mahu ada gerak kerja yang memperkasakan koperasi ASEAN dengan sokongan kerajaan masing-masing,” katanya.

Author

Pilihan Editor