HomeBeritaWan Asshima didenda RM13,000, kenyataan mahu tutup gereja

Wan Asshima didenda RM13,000, kenyataan mahu tutup gereja

KUALA LUMPUR: Seorang aktivis wanita didenda RM13,000 oleh Mahkamah Jenayah Siber di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik mahu menutup semua gereja di Facebook miliknya, tahun lalu.

Hakim M M Edwin Paramjothy mengenakan hukuman itu terhadap aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pondok Hijrah Muslimah Malaysia (MUM), Wan Asshima Kamaruddin, 38, selepas wanita itu mengaku bersalah.

Tertuduh sebelum ini menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan, Wan Asshima selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook menggunakan laman profil miliknya ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ jam 9.23 pagi, pada 11 Mac 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan

Antara intipati video oleh aktivitis itu adalah kenyataan tidak puas hatinya dengan keputusan mahkamah membenarkan kalimah Allah digunakan kitab Bible dan Wan Asshima juga menyeru orang Melayu dan Islam menentang isu penggunaan kalimah Allah serta mengeluarkan kenyataan mahu menutup semua gereja.

Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, jam 6.24 petang, pada 13 Mac 2021.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap OKS dengan mengambil kira faktor terdapat 61 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenai hantaran dibuat oleh wanita itu.

“Aduan yang paling banyak dari Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor. Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan kes ini yang memasuki peringkat perbicaraan dengan seramai tiga orang saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum OKS bertindak menukar pengakuannya kepada bersalah,” katanya.

Peguam Dorina Abdullah, yang mewakili Wan Asshima memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga selain tidak berniat untuk menyakiti orang awam melalui hantarannya.

“Anak guam saya juga sedang berhadapan dengan kes penceraian dan disebabkan itu, beliau tidak mendapat bantuan nafkah sejak bulan lalu. Saya mohon simpati mahkamah dalam menjatuhkan hukuman bagi kes ini,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor