HomeBeritaYBK tawar 1,600 ekar tanah pertanian percuma

YBK tawar 1,600 ekar tanah pertanian percuma

KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk mendapat tanah percuma, namun Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mampu merealisasikannya dengan menawarkan seluas 1,600 ekar kawasan bagi pembangunan pertanian di Bukit Tasik Serendah, Selangor.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, tujuan utama tanah itu diusahakan sebagai pertanian bagi menggalakkan penghasilan sendiri tanaman dan ternakan yang terlibat untuk mengurangkan kebergantungan import.

Katanya, usaha itu akan membabitkan pelbagai pihak melalui kerjasama strategik dan usaha sama berdasarkan situasi ‘win-win situation’.

“Tanah berkenaan disediakan mengikut zon, ada yang sudah boleh digunakan sekarang.

“Bagaimanapun, lebih baik kita pakai sekarang, supaya tanah pertanian yang dibangunkan itu akan memberi manfaat 20 ke 30 tahun akan datang,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Nadzim berkata kerajaan sebenarnya memerlukan sokongan daripada rakyat untuk melaksanakan pertanian sendiri bagi mengatasi isu krisis makanan dalam tempoh jangka tertentu.

“Sebenarnya kita tidak mahu tergolong dalam golongan lapar, jadi rasanya rakyat boleh buat sesuatu untuk bersama-sama dalam usaha menangani krisis ini.

“Bagi tujuan ini, PPIM dengan kerjasama YBK cuba menyediakan tanah dan kawasan lapang bagi usaha berhadapan dengan cabaran ini, termasuk menyediakan 1600 ekar tanah untuk bercucuk tanam kepada rakyat bagi tujuan ini,” katanya.

Beliau berharap supaya satu jawatankuasa rakyat membabitkan pertanian dapat ditubuhkan sebagai platform perkongsian idea dan kepakaran ke arah usaha berkenaan.

“Kita dah jumpa MAIS, EXCO di Terengganu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Baitulmal, yang turut membantu menangani masalah ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor