HomeGaya Hidup50 tahun ‘ketam’ rambut pelanggan

50 tahun ‘ketam’ rambut pelanggan

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Di sebalik pintu Ahmad Lazim Tukang Gunting Rambut di Jalan Gambier merangkum pelbagai nostalgia bandar raya Kuching.

Wujud sejak zaman jajahan Koloni Mahkota Sarawak British sekitar 80 tahun yang lalu, generasi kedua tukang guntingnya masih mempraktikkan teknik gunting ketam untuk merapikan rambut pelanggan.

Meneruskan legasi arwah bapanya, Abdul Hamid Ahmad berkata teknik gunting ketam rambut ini hampir pupus dan tidak kelihatan lagi digunakan oleh tukang gunting rambut di sekitar bandar raya ini.

“Saya rasakan hanya saya seorang sahaja di Kuching yang masih menggunakan teknik gunting ketam untuk merapi rambut pelanggan setelah digunting,” katanya ketika dikunjungi MEDIA VARIASI baru-baru ini.

Mesra dipanggil Pak Amit, veteran dalam bidang menggunting rambut ini mendedahkan kemahirannya menggunakan peralatan memangkas rambut itu dipelajari daripada arwah bapa.

Malah, ujar beliau peralatan gunting ketam rambut itu serta beberapa perkakas lain yang masih dalam simpanan beliau juga adalah milik arwah bapanya, Ahmad Lazim.

“Saya masih menyimpan kesemua peralatan menggunting rambut yang lama dengan baik kerana ia ada nilai sentimentalnya dan kini sukar untuk diperolehi melainkan kita membelinya di luar negara,” ujarnya.

Menurut Abdul Hamid, gunting ketam rambut itu sama fungsinya dengan mesin cukur elektrik iaitu digunakan untuk merapi atau menipiskan rambut.

“Bezanya mesin cukur elektrik dapat ditukar dan diganti mata hadapannya bagi memilih saiz cukur yang dingini mengikut kenipisan yang pelanggan mahu,

“Manakala gunting ketam ini pula ia tidak dapat diganti dan dipilih saiz mata cukurnya namun hanya teknik dan kepakaran seseorang tukang gunting yang akan menentukan hasil kerapian rambut pelanggan,” katanya.

Menariknya kata Abdul Hamid, 65, rambut yang dirapi dengan gunting ketam akan dirasai lebih lembut dan tersusun berbanding menggunakan mesin cukur elektrik.

“Terutama apabila kita sisip dan pangkas rambut dengan gunting ketam ini di kawasan rambut yang berada di sisi muka dan tengkuk… uniknya alat ini dapat memotong bulu tubuh berwarna putih atau bulu roma yang paling halus sekali,

“Mesin cukur elektrik tidak dapat memotong dan mencukur hingga ke bulu roma kita,” jelasnya teknik ini memberi kepuasan kepada dirinya sebagai tukang gunting rambut.

Ketika menggunakan gunting ketam itu untuk memotong rambut pelanggan, kata Abdul Hamid para pelanggan kelihatan amat mempercayai gerak-geri tangannya.

“Ada dalam kalangan pelanggan hanya akan masuk ke kedai dan duduk di kerusi sambil berkata – potong macam biasa,” ujarnya.

Namun kata Abdul Hamid, tidak semua pelanggan yang hadir akan dilayani dengan teknik lama itu kerana menggunakan alat gunting ketam untuk menggunting dan merapikan rambut seseorang pelanggan akan memakan masa yang lama iaitu hampir dua jam.

Berbanding menggunakan mesin cukur elektrik, beliau mendedahkan satu sesi menggunting rambut hanya memakan masa 45 hingga 1 jam sahaja.

“Hanya segelintir sahaja pelanggan yang mahu menggunakan teknik gunting ketam sekarang kerana mahu menjimatkan masa,” luahnya pelanggan yang masih setia kepada teknik itu merupakan warga emas di bandar raya Kuching.

Author

Pilihan Editor