HomeBeritaADUN bimbang isu ceroboh laut kerajaan diam

ADUN bimbang isu ceroboh laut kerajaan diam

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yakub Arbi meluahkan kebimbangan dengan sikap kunci mulut Wisma Putra dan Mindef dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Yakub Arbi berkata, isu pencerobohan sudah banyak diperkatakan khasnya wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun krisis ini lebih berlarutan daripada ianya selesai.
“Krisis ini sudah tidak boleh dipandang remeh mahupun sikap berdiam diri kononnya untuk ‘menjaga hati’ segelintir pihak walaupun mencabul kepentingan dan kedaulatan negara.
“Saya rasa ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?
“Sejak 2021 lagi sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Tindak-tanduk ini juga sebenarnya boleh gugat perkapalan serta aktiviti nelayan. Nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera.
“Di sini di Sarawak, kita boleh ambil pendekatan diplomatik secara proaktif agar China memahami kebimbangan para nelayan tempatan yang bergantung sumber rezeki laut. Fikirlah tentang rakyat kita juga, sehingga bila mahu kita berdiam diri seperti ini,” katanya sebentar tadi.
Jelas Yakub, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan sebarang resolusi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.
“Siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik COVID-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis ini yang cukup membimbangkan.
“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita?
“Sebenarnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara  ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.
“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketentaraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya di lihat seperti Zon Perang.
“Hakikatnya semua perlu saling hormat menghormati kedaulatan negara di rantau ini dan janganlah ambil kesempatan kerana sememangnya rantau Laut China Selatan adalah sentiasa dalam keadaan aman dan selamat bagi kapal nelayan sebelum ini,” tegasnya.
Untuk makluman juga, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019.

Author

Pilihan Editor