HomeSukanBola sepak wanita perlu diperkasakan untuk lebih diiktiraf

Bola sepak wanita perlu diperkasakan untuk lebih diiktiraf

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

BOLA sepak wanita di Asia Timur perlu terus diperkasakan lagi terutama dalam merapatkan jurang perbezaan dengan bola sepak lelaki.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir ke Simposium Pemerkasaan Wanita yang diadakan sempena Ulang Tahun ke-20 Persekutuan Bolasepak Asia Timur (EAFF) di Tokyo, Jepun pada Isnin berkata, Malaysia dan juga negara Asia Timur perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyahut seruan ini.

“Berdasarkan simposium pembentangan oleh Pengerusi WE League Jepun, Kikuko Okajima mendapati indeks jurang perbezaan jantina di Malaysia agak tinggi ialah 103.

“Kita juga perlu memperbaiki cara dalam menaikkan lagi bola sepak wanita, terutama dari segi promosi dan laporan oleh media tempatan.

“Okajima mengambil contoh terbaik bola sepak wanita di negara USA dan Sepanyol,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin juga mengambil peluang pendedahan ini untuk mengenal pasti ciri-ciri kepimpinan kejurulatihan buat bola sepak wanita untuk memartabatkan lagi bola sepak Malaysia ke peringkat lebih baik.

Hamidin turut berada di Tokyo bagi menyantuni undangan EAFF sempena Ulangtahun ke-20 Persekutuan itu dan menyaksikan perlawanan kejohanan EAFF E-1.

Author

Pilihan Editor