BOGOTA: Menteri Kesihatan dan Perlindungan Sosial Colombia Fernando Ruiz pada Jumaat mengingatkan rakyat untuk mempertingkat langkah penjagaan diri dan mendapatkan vaksin COVID-19 kerana negara itu sedang menghadapi gelombang kelima pandemik.
“Ternyata kita berada di puncak kelima. Ia merebak di bandar yang berbeza, terutama di kawasan bandar… sejak semalam (Khamis) angka kematian secara relatifnya stabil berbanding minggu sebelumnya,” lapor Xinhua memetik Ruiz.
Menteri itu menegaskan berdasarkan angka kematian minggu lalu, penduduk berusia lebih 70 tahun adalah golongan paling terjejas manakala kemasukan ke hospital meningkat dalam kalangan golongan muda yang tidak divaksin.
“Kedua-dua kumpulan ini sangat sensitif. Golongan muda terdedah kerana merupakan kumpulan besar yang belum divaksin, manakala dalam kalangan warga emas, isu suntikan penggalak menjadi sangat penting,” jelasnya.
Ruiz juga menekankan keperluan untuk mempercepat ujian bagi mengenal pasti kes baharu, meskipun varian Omicron masih menjadi virus dominan di negara itu dan kurang membawa maut berbanding jenis lain, ia masih boleh menyebabkan komplikasi.
“Kami menjangkakan dua atau tiga minggu jangkitan yang tinggi, diikuti dengan pengurangan… inilah masanya untuk mendapatkan vaksin dan berwaspada terhadap risiko yang lebih besar,” menteri itu memberi amaran.
Negara Amerika Selatan itu mencatatkan 23,667 jangkitan COVID-19 dan 132 kematian dalam satu minggu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 6,198,848 kes dan 140,202 kematian, menurut data terkini Kementerian Kesihatan. – BERNAMA