HomePendidikanGagal tiga subjek dalam percubaan, SPM lulus cemerlang

Gagal tiga subjek dalam percubaan, SPM lulus cemerlang

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak menyangka mampu memperoleh keputusan cemerlang walaupun gagal tiga subjek dalam keputusan percubaan SPM sebelumnya.

Izz Khalisa Amri, 18, yang mendapat keputusan 1B+, 2B, 1C+, 1C, 1E dan 3G ketika percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 sebelum memperoleh keputusan cemerlang 5A 4B seperti yang tular di media sosial.

Kejayaan penuntut Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor atau lebih dikenali sebagai Sultan Ibrahim Girl School (SIGS) itu bermula selepas mengikuti Selekoh Akhir Pecutan SPM bersama guru Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian (PTTI).

“Pada mulanya, saya mencuba belajar sendiri di rumah namun ternyata amat sukar, prestasi menurun kerana hilang fokus.

“Ketika keputusan percubaan SPM diumumkan, saya berasa amat kecewa dengan keputusan yang amat membimbangkan.

“Usaha saya berbaloi apabila memperoleh 5A dan tiga subjek yang gagal sebelumnya iaitu Sejarah (A-), Prinsip Akaun (A) dan Matematik Tambahan (B+),” katanya yang menerima Anugerah Cemerlang daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anugerah itu diterima pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2021 anjuran Pusat Peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PTTI, baru-baru ini.

Menurut Izz Khalisa, dia tidak menyangka namanya tersenarai oleh PTTI daripada lebih 5,000 pelajar cemerlang keputusannya.

“Saya rasa gembira sebab daripada dulu saya gagal dan sekarang boleh bangkit dengan keputusan lebih baik dan itu bukan senang.

“Syukur kerana PTTI nampak peningkatan drastik jadi saya sangat gembira. Percaya pada proses, konsisten adalah kunci kejayaan dan ingat usaha takkan pernah mengkhianati kamu,” katanya.

Pada masa itu, Izz Khalis berkata, doa dan dorongan daripada ibu bapa antara kunci kejayaan dirinya selain tidak mudah putus dan konsisten dalam kelas.

“Apabila ada kelas jangan tak masuk sebab bila ketinggalan satu kelas kita akan susah nak dapat dalam kelas seterusnya.

“Jadi, saya rasa konsisten dengan usaha, kemudian kita kena sabar juga. Memang susah nak konsisten tapi apa yang saya buat adalah bila balik sekolah saya akan masuk juga kelas dalam talian dengan menggunakan telefon semasa dalam kereta.

“Jangan bandingkan keputusan kita dengan kawan lain sebab itu dia. Kita tengok keputusan kita sama ada ia meningkat atau tak. Kalau meningkat walaupun sikit maksudnya ada kita tetap peningkatan dan percaya ia boleh jadi lebih baik. Apa yang penting jangan mudah putus asa,” katanya.

Izz Khalisa juga antara 335 pelajar SPM PTTI yang diraikan pada itu.

Pada majlis sama, pelajar dan tetamu juga berpeluang menyertai Wacana Halatuju Sistem Pendidikan dan Pembelajaran Dalam Talian Negara yang menampilkan ahli panel, negarawan terulung, Tun Dr Mahathir.

Author

Pilihan Editor