GENEVA: Gelombang haba yang melanda Eropah memecah rekod sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai, ekonomi, pengeluaran pertanian dan pelancongan, dan berkemungkinan berlaku lebih kerap untuk beberapa dekad.
Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) Petteri Taalas dalam satu sidang media Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva mengenai gelombang haba pada Selasa berkata aliran iklim negatif akan berterusan, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2060-an.
“Dan itu bermakna keadaan cuaca ini menjadi kebiasaan,” katanya dipetik Agensi Anadolu.
Menurut Taalas, dunia mempunyai cara yang lebih baik untuk menyesuaikan diri dengan gelombang haba berbanding pada dulu kerana di banyak negara, orang ramai telah menambah baik kemudahan untuk menangani gelombang haba dan lebih mengetahui tentang risiko kesihatan yang berkaitan dengan cuaca.
Taalas berkata kesedaran mengenai perubahan iklim jauh lebih baik berbanding dahulu.
Beliau berkata cara untuk mengurangkannya boleh dilihat dalam sektor tenaga dengan penyelesaian mesra iklim serta dalam pengangkutan dan pemakanan rakyat, manakala harga berkaitan ubat-ubatan semakin rendah.
“Tetapi orang yang sama yang terdedah kepada pandemik COVID-19 sangat berisiko terhadap gelombang haba.
“Jadi, kami jangka peningkatan kematian dalam kalangan warga emas dan mereka yang sudah sakit. Kami juga menjangkakan kesan besar terhadap pertanian,” katanya. – BERNAMA