KUALA LUMPUR: Pengkelasan rakyat mengikut pendapatan bulanan seperti B40, M40 dan T20 sudah lapuk dan tak relevan selepas negara berhadapan dua tahun pandemik COVID-19.
Sepanjang tempoh itu rakyat berhadapan dengan situasi ekonomi yang luar biasa menekan, kesan besar dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain.
Kesannya ramai yang hilang pendapatan utama, ada yang tutup perniagaan, ada yang terpaksa bertukar bidang, ramai yang hilang lebih separuh pendapatan bulanan malah ramai dibuang kerja kerana menolak vaksin.
Ada sebahagian rakyat sebelum ini dikelaskan M40 tetapi kini sudah jatuh ke kategori B40 berdasarkan skala gaji pra pandemik (sebelum ancaman COVID-19).
Sehubungan itu, pengkelasan ‘kasta’ rakyat yang diwujudkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 ini sudah tidak relevan kerana wujud perbezaan yang besar selepas pandemik.
Ketua UMNO Cawangan KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, istilah B40, M40 itu adalah istilah bagi mewujudkan kasta dicipta oleh PH.
“Apa yang lebih penting sekarang ini adalah kita perlukan kajian terbaharu, terkini yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan dengan sosio-ekonomi rakyat umpamanya.
“Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia dan sebagainya.
“Pandemik berlaku dalam dua tahun ni adalah sesuatu amat luar jangkaan, sudah tentunya merubah 360 darjah kehidupan manusia.
“Segalanya berubah dari segi pendidikan, kerja dari rumah, belajar secara online, masjid pernah ditutup lama, masjid perlu penjarakan sosial, tak dibenarkan solat jemaah, sekarang kita sudah masuk fasa endemik dan kelonggaran itu diberi.
“Sebab itu perlunya kerajaan ambil langkah baharu untuk buat kajian terbaharu sebab kita tiada jumlah terkini berapa orang yang hilang pekerjaan, menganggur, sakit, terkesan vaksin dan lain-lain,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Dzulkarnain menambah, jika kerajaan tidak memiliki ‘big data’, ataupun data raya, kerajaan tidak mampu buat dasar yang betul untuk membantu rakyat.
“Untuk membetulkan ekonomi, mengemukakan program sosial, yang memulih kerosakan pada ekonomi, sistem pentadbiran negara ini perlu, jadi kita tak perlu pengklasifikasian lama.
Istilah B40 itu sebelum pandemik, tapi dalam konteks pandemik, ia adalah satu jangka masa lama dan boleh dikira outdated, tak relevan lagi.
“Kerajaan perlu tingkatkan peluang kemahiran, takkan selamanya nak lihat anak muda B40 jadi Grab Driver, atau food delivery?
“Kita perlukan satu program yang konkrit, kukuh dan hala tuju yang jelas, jangan asyik nak bagi duit sahaja itu tidak selesaikan masalah jangka masa panjang,” katanya.