HomeMV+PendapatHentikan pengkastaan moden B40

Hentikan pengkastaan moden B40

TIDAK berapa lama dahulu pernah kecoh di media sosial mengenai seorang pensyarah yang menghina golongan B40 kerana tidak mampu beli komputer riba.

Sebenarnya tak semua orang tahu istilah ‘mak bedah’ mana yang popularkannya? Berikut adalah analisis kewartawanan saya:

Adakah berdasarkan kejadian viral semasa, kita akan menyaksikan istilah-istilah kasta ‘duit’ digunakan.

Adakah selepas ini di Plaza Tol akan wujud laluan khas untuk kategori miskin B40?

Kemudian di pasar raya terkemuka hanya untuk pelanggan T20 sahaja.

Malah tandas di hotel sekarang pun sudah wujud kasta, contoh TANDAS VIP SAHAJA, MEMBERS ONLY.

Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia juga pernah memperkenalkan Express Boarding, bayar lebih untuk tidak perlu beratur masuk kapal terbang walaupun kapal terbang yang sama juga parkir di ‘tarmac’.

Sekarang ini pun secara senyap semakin banyak borang permohonan untuk rakyat mesti menyatakan kategori mana pendapatan seperti B40, M40, T20.

Contohnya, untuk mohon pas bulanan LRT, penulis perlu menyatakan kategori B40 untuk layak mendapatkan kemudahan itu.

Istilah B40 dari carian internet mula digunakan oleh Jabatan Statistik dan Perangkaan Negara yang mengkelaskan rakyat Malaysia mengikut jumlah pendapatan bulanan mereka.

Sejak itu istilah ini diulang-ulang, didoktrin oleh pemimpin politik, oleh wartawan, media dan lain-lain.

Pemimpin politik tidak lagi menyebut MISKIN PAPA KEDANA, MISKIN TEGAR, MISKIN RENTAN, MISKIN TRAGEDI ATAU KAYA HARTAWAN.

Cuba bandingan dua ayat ini, apa bezanya?

  1. Saya benci B40?
  2. Saya benci miskin?

Dua ayat memberi dua pengertian berbeza.

Anak-anak di sekolah apabila ditanya “Awak besar nak kerja apa?”

“Saya nak kerja T20 cikgu tak nak jadi B40 macam bapa saya.”

Jadi siapakah yang akan jadi golongan-golongan petani? Penoreh getah? Pesawah? Kerja pembersihan? Pekerja ladang? Pembantu tadbir? Pekerja teknikal bawahan? Pelayan kedai dan sebagainya?

Perlukah kita dalam kehidupan moden ini kita mempopularkan istilah-istilah mengkastakan dan melabelkan rakyat Malaysia ikut kategori?

Tidak mustahil istilah ini akan mula menjadi dasar apartheid dalam mencari pasangan, pilih menantu, pembelian rumah dan kehidupan sosial?

Sekarang pun dah ada kawasan rumah B40 tak perlu pengawasan lebih rondaan polis ataupun dipasang CCTV berbanding pengawasan berkala di kawasan rumah elit T20.

Seolah-olah kesejahteraan hidup T20 ini begitu dijaga oleh kerajaan berbanding kemudahan asas B40.

Selepas ini seorang pemimpin parti politik akan bercakap dengan pegawainya, “KEMPEN KITA KALI INI UNTUK ORANG B40 SAHAJA, CARILAH APA BENDA BANTUAN KITA BOLEH UMUM NANTI.

UNTUK KAWASAN T20 NANTI KITA UMUMLAH PELUANG MELABUR BINA KEKAYAAN KITA.

KITA JANGAN BUANG MASA CERITA DENGAN B40 PASAL TAMBAH KEKAYAAN NI.

Mungkin boleh wujudkan satu lagi kategori iaitu istilah G20 (G UNTUK GAGAL SEGALANYA VERSI 2.0 iaitu GELANDANGAN)

G20 adalah golongan tiada rumah, tiada saudara mara, tiada pendapatan, tiada harapan dalam negara.

Penciptaan istilah ini seharusnya kekal dalam bilik mesyuarat sahaja peringkat jabatan perangkaan bukannya untuk dibawa keluar dan dimasukkan istilah itu di dalam borang maklumat permohonan untuk rakyat seperti borang zakat, borang pas bulanan LRT, borang mangsa banjir dan lain-lain.

Contohnya, jika seorang wartawan pernah jadi editor dengan gaji RM8,000 bertaraf T20 tiba-tiba berlaku perkara dibuang kerja akhirnya terpaksa kerja kais pagi makan pagi.

Dalam borang terdahulu mungkin telah direkodkan T20 tetapi berhadapan kesukaran untuk mohon Bantuan Keluarga Malaysia berdasarkan status terdahulu.

Perkara ini akan menyebabkan permohonan BKM dibuang kerana terdapat rekod awal kategori lain. Siapa yang kawal selia kemaskini status ini?

Menyusahkan bukan? Kerana tiada sistem dalam talian secara realtime online database untuk auto update status kewangan semasa rakyat.

Jadi sepatutnya kita kekalkanlah istilah Bahasa Melayu dalam penulisan iaitu golongan berkemampuan, golongan sederhana, golongan kurang kemampuan dan golongan berada yang lebih santunnya dalam adab Melayu.

Author

Pilihan Editor