KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuantan membidas sikap sesetengah pihak yang cepat menghukum wanita berpakaian seksi menjadi punca dirogol.
Fuziah Salleh (PH-Kuantan) berkata, sikap menghukum tidak membantu mangsa-mangsa rogol untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Katanya, kambing juga tidak berpakaian seksi, tetapi ada kes dirogol sehingga mati.
“Nenek 74 tahun kena rogol. Kanak-kanak lima tahun kena rogol. Remaja lelaki pun kena rogol.
“Ketika dirogol kanak-kanak berpakaian sukan, sekolah seksi ke?
“Malah, kambing pun kena rogol sampai mati kambing itu. Adakah mereka berpakaian seksi. Jadi, hujah-hujah (ini) tak rasional (untuk) bela nasib rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Anti-gangguan Seksual 2021 di Dewan Rakyat.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun membentangkan RUU itu bagi bacaan kedua di Dewan Rakyat.
Kata Rina, RUU itu memperuntukkan pengecualian bidang kuasa mahkamah jika suatu aduan gangguan seksual sudah dibuat oleh mana-mana individu kepada tribunal.