HomeBeritaKPLB kaji rayuan Tok Batin elaun naik RM1,500

KPLB kaji rayuan Tok Batin elaun naik RM1,500

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengkaji keperluan menaikkan elaun bulanan Tok Batin dari RM900 ke RM1,500.

Selain elaun Tok Batin turut dikaji elaun Ketua Kampung dan lain-lain jawatan di kampung.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya belum ada keputusan namun permohonan itu sedang diteliti.

“Kami mendengar dan memahami situasi semasa rakyat dan perkara ini sedang dikaji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli bersama Pemimpin di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

Tambahnya, KPLB giat melatih pemimpin Orang Asli agar mereka menjadi pemimpin serba khususnya berkebolehan mengumpul dan menggunakan data.

“Kepada semua ketua-ketua dan Tok Batin yang telah dilantik, di bawah peruntukan sedia ada, menteri yang tandatangan sendiri perlantikan masing-masing. Ini adalah pengiktirafan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama Mahdzir turut merasmikan Kad Pengenalan Tauliah Batin yang pertama kali diperkenalkan.

Penggunaan kad pengenalan itu bakal memudahkan pengecaman kuasa Batin dan Penghulu Orang Asli.

Selain memberikan keistimewaan tertentu kepada Batin dan Penghulu Orang Asli menerusi kerjasama dengan Maraliner, Bank Rakyat dan Aeon Big.

Untuk rekod, JAKOA melantik seramai 624 orang sebagai Batin dan Penghulu bagi mewakili 206,777 masyarakat Orang Asli pelbagai suku di seluruh negara.

Author

Pilihan Editor