HomePendidikanWang saku naik ke RM4, tangani isu pelajar Orang Asli tercicir

Wang saku naik ke RM4, tangani isu pelajar Orang Asli tercicir

KUALA LUMPUR: Bukan mudah untuk menggalakkan pelajar Orang Asli datang ke sekolah walaupun pelbagai kemudahan disediakan.

Antara alasan yang diberikan mereka adalah seperti menjaga adik beradik di rumah, bantu keluarga bertani dan menternak dan lain-lain.

Daripada data Kementerian Pendidikan Malaysia terdapat 686 pelajar atau 17.1 peratus tercicir persekolahan.

Ketika ini seramai 14,695 pelajar sekolah menengah dan 27,005 murid sekolah rendah daripada masyarakat Orang Asli.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar yang datang ke sekolah diberi wang saku, ibu bapa yang hantar anak ke sekolah diberi makan sarapan pagi percuma.

“Dahulu wang saku hanyalah RM2, tahun ini dinaikkan RM4 sehari.

“Sebanyak RM59 juta bantuan persekolahan termasuk wang saku dan peruntukan istimewa.

“Peruntukan itu juga termasuk menyediakan program khusus Orang Asli, kelas dewasa, program persekolahan pendidikan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Perdana Batin/Penghulu Orang Asli Bersama Pemimpin di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.

Sementara itu, Mahadzir berkata, seramai 76 pelajar Orang Asli cemerlang dalam SPM tahun lalu.

“Seramai 131 pelajar dihantar ke luar negara sejak 2010.

“Ada yang jadi pensyarah, jurutera, doktor, peguam dan pegawai tinggi kerajaan, PTD di agensi lain.

“Kita mahu yang berjaya ini pulang balik menyumbang ke tempat asal mereka, tapi ada yang bertahun-tahun tak balik pula,” katanya.

Author

Pilihan Editor