HomeHiburanLepas pokok pisang, hantar sihir syiling kat kedai Cik B pula -...

Lepas pokok pisang, hantar sihir syiling kat kedai Cik B pula – Vida

OLEH: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Usahawan selebriti kontroversi, Datuk Seri Vida mendakwa kedai perniagaan milik anaknya, Cik B iaitu Boba Lova yang terletak di Ipoh, Perak terkena perbuatan sihir lagi.

Kali ini, kata Vida, beliau terjumpa dua keping syiling lama di hadapan kedai anaknya pula baru-baru ini.

Jelas wanita kelahiran Kelantan itu, dia menggunakan khidmat seorang ustaz untuk menyelesaikan perbuatan sihir yang dihantar seseorang itu.

“Sebelum ini hantar sihir di pokok pisang di depan kedai hingga menyebabkan pelanggan beranggap kedai anak saya sudah tidak beroperasi lagi.

“Saya mengetahui siapakah individu yang melakukan perkara terkutuk itu namun biarlah bagi menjaga aib.

“Inilah yang dikatakan Melayu sama Melayu dengki,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Pertengahan bulan lalu, Vida menerusi satu hantaran yang dibuat di Youtube meluahkan rasa kecewa dengan situasi kedai anaknya itu yang kini sunyi sepi tanpa kehadiran pelanggan.

“Kedai Cik B sebelum ini sangat popular.Orang datang dekat Jelapang tapi mereka kata kedai ini ada terkena sihir. Saya tak percaya masa itu. Bayangkanlah, ada yang beritahu, mereka datang sini tapi nampak kedai tutup sedangkan saya memang buka.

“Ada juga yang beritahu kata tak nampak kedai saya,” katanya.

Selain itu, dakwa Vida, beberapa batang pokok pisang yang terletak di persekitaran kedai Cik B juga dikatakan telah disihir dan diletakkan benda berkaitan sihir oleh individu tidak bertanggungjawab atas tujuan tersebut.

Berikutan itu kata Vida, dia telah mengambil inisiatif untuk menebang pokok-pokok tersebut.

“Saya ada pergi berubat (secara alternatif), dan didapati ada yang letak benda sihir tersebut di pokok pisang itu. Jadi saya tebang pokok-pokok itu bagi buang sial. Siapa yang dajalkan aku, nak buang sial. Aku tebang dan cantas pokok pisang ini!” katanya.

Author

Pilihan Editor