HomeBeritaOP Khas Aidiladha: JPJ Pahang pantau 34 lokasi 'hotspot'

OP Khas Aidiladha: JPJ Pahang pantau 34 lokasi ‘hotspot’

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang akan memantau 34 lokasi ‘hotspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha yang bermula hari ini.

Pengarah JPJ Pahang Kamarul Iskandar Nordin berkata penguatkuasaan itu meliputi laluan utama negeri dan lebuh raya antara lain bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan pada musim perayaan.

Antara jalan terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Kuantan-Kuala Lumpur, Jalan Kuantan Bypass (Kuantan), Jalan Kuantan-Segamat (Rompin), Jalan Pekan-Batu Balik (Pekan), Jalan Kuantan-Kuala Lumpur (Maran), Jalan Temerloh-Kuala Lumpur (Temerloh) dan Jalan Temerloh-Bahau (Bera).

Selain itu, Jalan Bentong Raub (Bentong), Jalan Jerantut-Maran-Kuantan (Jerantut), Jalan Lipis Merapoh (Kuala Lipis), Jalan Tringkap-Kampung Raja (Cameron Highlands) dan Jalan Alternatif Kuala Lumpur-Kota Bharu (Raub) juga akan dipantau.

“Anggota kita akan melakukan rondaan di kawasan-kawasan tersebut malah kita juga akan melaksanakan Op Khas Motosikal dalam tempoh operasi berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika pelancaran Operasi Khas Hari Raya Aidiladha di Terminal Sentral Kuantan di sini, hari ini.

Operasi khas ini memfokuskan penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama antaranya memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memandu lebih had laju, langgar lampu merah dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Menurutnya, selain penyamaran sebagai penumpang bas, penguatkuasaan di Terminal Sentral Kuantan, Terminal Temerloh dan Terminal Genting turut akan dilaksanakan sepanjang tempoh operasi berkenaan dengan fokus utama akan melibatkan pemeriksaan teknikal seperti brek, tayar, lampu isyarat dan dokumen kenderaan.

“Kita teruskan taktik penyamaran ini kerana semasa Aidilfitri lepas kita dapat mengesan pemandu bas yang melakukan kesalahan antaranya tidak mematuhi jam operasi, melakukan perbuatan yang membahayakan penumpang iaitu makan sambil memandu dan memandu lebih empat jam tanpa pemandu kedua,” kata Kamarul Iskandar.

Menurutnya, seramai 252 anggota JPJ Pahang akan terlibat dalam operasi khas yang dilaksanakan hari ini dan esok serta 12 dan 13 Julai itu dengan mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Orang ramai juga diminta melaporkan sebarang kesalahan jalan raya melalui aplikasi JPJ e-ADUAN@JPJ yang dilancarkan pada April lepas. – BERNAMA

Author

Pilihan Editor