HomeGaya HidupPensyarah Bangladesh di Sarawak pimpin hijrah Aleena Jong, sebagai isteri

Pensyarah Bangladesh di Sarawak pimpin hijrah Aleena Jong, sebagai isteri

OLEH: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Maal Hijrah pertama buat Aleena Jong Hui Li dimaknakan selaku saudara baharu Islam sejak Jun lalu, wanita berketurunan Cina itu juga selamat bergelar suri hati kepada jejaka Bangladesh, Md Bazlul Mobin Siddique yang telah menyambut cintanya.

Diijabkabul pada 27 Julai lalu di Masjid Darul Hana Petra Jaya Kuching Sarawak; anak jati Kuching ini nekad berhijrah bukan hanya ingin sah bergelar isteri kepada Mobin yang mencari rezeki di sini sebagai pensyarah, namun ketaatan suami terhadap agama Islam telah mengetuk pintu hati Elina mengucap dua kalimah syahadah pada 16 Jun 2022 lalu.

“Suami tidak pernah mengajar tentang Islam tetapi dia selalu bercerita tentang keindahan Islam menjadikan saya memahami agama Islam secara lebih terperinci.

“Malahan beliau tidak tinggal solat lima waktu dan mengaji serta mengingatkan saya tentang batasan dan aurat membuatkan saya yakin dia adalah yang terbaik untuk saya,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI di Masjid Darul Hana, Petra Jaya Kuching.

 

Mula bertudung bagi mencerminkan keihlasan nuraninya, jelas Aleena hijrahnya turut disertakan beliau belajar berpuasa sejak dua tahun lalu diikuti belajar menghafal surah Al-Fatihah sebagai permulaan.

“Al-Fatihah merupakan surah pertama yang saya hafal… saya amat bersyukur perjalanan saya berhijrah amat mudah sekali,” ujarnya.

Setelah berhijrah ini, Aleena akui tenang menjalani kehidupan seharian serta perjalanan hidup lebih disiplin rentaknya ujar anak bongsu tiga adik-beradik ini.

“Saya lihat hidup saya lebih berdisiplin kerana saya merasakan ajaran Islam membentuk pegangan saya dengan baik,” jelasnya.

Disoal mengenai penerimaan keluarga, Aleena dalam nada perlahan akui pada mulanya orang tua sukar menerima namun persahabatan antara beliau dan si suami tidak pernah ditentang.

“Ibu bapa tahu kami berkawan dari awal… tiada halangan namun ketika saya memberitahu saya ingin memeluk Islam… orang tua mana yang tidak sedih, namun mereka mengakui saya sudah dewasa dan berhak membuat pilihan demi kebaikan,” luahnya.

Sementara Mobin berkongsi kisah pertemuannya dengan Aleena, dirinya mengenali si isteri sejak wanita itu menuntut di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.

Aleena yang banyak mengetahui tentang Islam kata Mobin telah menyatukan hasrat pasangan itu hingga ke jinjang pelamin.

“Aleena sering bertanya kepada saya pelbagai perkara tentang agama Islam apa yang boleh apa yang tidak boleh oleh itu saya menjelaskan agar dia faham dengan baik,” katanya yang telah menetap di Sarawak sejak sembilan tahun itu.

Berjanji akan membimbing Aleena untuk mentaati perintah Allah, Mobin turut berharap bahtera perkahwinan mereka melahirkan zuriat yang soleh dan solehah dalam jalinan cinta kekal hingga hujung nyawa.

Kedua mempelai ini telah diijabkabulkan pada jam 3 petang oleh Ustaz Yakub Abdullah dari Majlis Agama Islam Sarawak merangkap jurunikah dan wali hakim.

Author

Pilihan Editor