HomeHiburanHazama jadi pilihan Kmy Kmo, Luca Sickta

Hazama jadi pilihan Kmy Kmo, Luca Sickta

OLEH: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Duo hip hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta kini tampil berkolaborasi dengan penyanyi pop rock tanah air, Hazama menerusi lagu berjudul Makuta selepas selepas kejayaan merakamkan tiga single bersama penyanyi tersohor negara iaitu Datuk M Nasir menerusi lagu Zuhud, diikuti Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi 7 Nasihat dan Datuk Jamal Abdillah dalam Neraca.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya oleh dua penyanyi muda ini sememangnya memiliki mesej yang cukup mendalam selain menggabungkan elemen hip hop dan rock serta konsep Nusantara dalam buah tangan kali ini.

Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, penghasilan Makuta menitikberatkan gambaran serta amaran yang sudah dan bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar secara menyeluruh.

“Makuta yang bermaksud Mahkota dari bahasa Sunda ini mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan dan juga pada kehidupan harian kita.

Makuta juga lebih menjuruskan kepada ketua, pengurus, dan juga wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota tersendiri dengan kuasa yang dimiliki. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu kearah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan Makuta/Mahkota sebagai senjata kuasa veto.

Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan mahkota dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut-pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab.

Malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikut-pengikutnya dengan kuasa ‘Mahkota’ yang diamanahkan demi kepentingan diri sendiri.

Jika dilihat daripada sudut wanita, ‘Mahkota’ boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga dan dalam masa sama mampu menjadi senjata yang berbahaya atau membunuh jika ia digunakan dengan niat jahat,” katanya.

Mengakui single Makuta memberi cabaran tersendiri memandangkan tiga single terdahulu memberi impak besar kepada pendengar setianya, Kmy bagaimanapun berusaha menghasilkan lirik yang berbekas di hati pendengar.

“Proses penulisan agak mencabar kerana sebelum ini kami sudah keluarkan tiga lagu yang memberi impak besar kepada pendengar dan secara tidak langsung memberi satu tekanan kepada kami untuk mengekalkan momentum karya-karya kami,” katanya.

Menyentuh mengenai kolaborasi dengan Hazama, Luca Sickta pula berkata, pemilihan Hazama diputuskan selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock yang dimilikinya.

“Bagi saya Hazama adalah seorang penyanyi yang mampu menjiwai setiap apa yang diamanahkan. Dia tahu apa itu seni lagu dan seperti yang semua tahu setiap lagu yang disampaikan Hazama menusuk ke kalbu.

“Saya juga melihat kehadiran Hazama ini sebagai seorang legenda muda. Hazama juga seorang penyanyi yang sangat kami hormati dengan bakat dan karakternya yang begitu bersahaja,” katanya.

Sementara itu bagi Hazama pula, peluang untuk berkolaborasi bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta merupakan satu penghargaan buatnya.

“Ia adalah suatu penghargaan untuk berkolaborasi bersama dua penyanyi rap yang seperti Kmy Kmo dan Luca Sickta.

“Melihat kepada karya-karya mereka sebelum ini dan pengalaman mereka bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri seni tanah air seperti Datuk M Nasir, saya rasa kedua-dua rapper ini perlu diberi perhatian yang lebih.

“Saya berpendapat bahawa Makuta adalah satu naskhah yang penuh berisi dan saya berikan sepenuh jiwa untuk menggalas tanggungjawab untuk menyumbangkan suara dalam karya hebat ini agar sampai ke hati para pendengar,” kata Hazama.

Sementara itu, Makuta kini boleh didengar di semua platform digital sepertiSpotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan YouTube Music manakala MV Makuta di saluran YouTube KmyKmo Official.

Author

Pilihan Editor