KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkemungkinan kembali ke trek lebih awal daripada yang dijangkakan.
Tanpa mengulas lanjut, ketua jurulatih kebangsaan John Beasly berkata, pasukannya sedang bekerja keras untuk memastikan Azizulhasni bersedia untuk bertanding dalam perlumbaan kecil hujung tahun ini.
Malah, jurulatih dari Australia itu menjangkakan atlet berusia 34 tahun itu akan menyertai kejohanan besar pertamanya iaitu Piala Negara-Negara Berbasikal Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Februari ini, iaitu selepas Olimpik Tokyo 2020 tahun lepas.
Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI adalah antara kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik di Paris,
“Belum ada pengumuman lagi mengenai lokasi Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI, tetapi saya rasa di Asia. Kami hanya ada tarikh yang telah ditetapkan, setakat ini.
“Bagaimanapun, prestasi hanya akan dinilai kemudian, apabila menghampiri Sukan Olimpik 2021 di Paris. Kami cuma perlu fokus pada kelayakan untuk membawa beliau ke sana,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu masih menjalani rehabilitasi susulan pembedahan jantung terbuka bagi kondisi jantung jarang jumpa dikenali arteri koronari kanan yang menyalur daripada aorta di posisi yang janggal (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, April lepas.
Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.
Berikutan itu, Azizulhasni sebelum ini dijangka kembali berlatih tahun depan.
Ditanya keadaan Azizulhasni, Beasley gembira kerana atlet berbasikal yang berpangkalan di Melbourne itu semakin pulih dan kelihatan sihat pada ketika ini.
Beasley juga memaklumkan atlet yang digelar Pocket Rocketman itu telah mula berlatih di trek minggu lepas termasuk melakukan kayuhan jalan raya selama tiga jam.
Bagaimanapun, beliau berkata atlet kelahiran Dungun itu kehilangan berat badan sebanyak enam kilogram selepas pembedahan tersebut.
“Kami perlu membina semula (banyak) ototnya, namun perlu beri beliau masa untuk kembali cergas sepenuhnya dan kamu akan lihat Pocket Rocketman kembali pada tahap terbaiknya,” tambahnya. – BERNAMA