HomeHiburanSokongan luar biasa terhadap Mat Kilau cecah RM71 juta

Sokongan luar biasa terhadap Mat Kilau cecah RM71 juta

KUALA LUMPUR: Sokongan luarbiasa rakyat Malaysia dan negara jiran terhadap Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membuahkan hasil kutipan sehingga RM71 juta setakat petang hari ini.

Filem biografi epik sejarah itu terus mencipta fenomena sehingga mendapat perhatian luar negara seperti Singapura dan Brunei.

Pengarahnya, Syamsul Yusof mengakui kelu lidah untuk berkata-kata melihat sokongan diberikan penonton.

“Kutipan setakat semalam lebih RM68 juta. Kalau termasuk hari ini (petang) sudah mencapai RM71 juta. Sambutan masih hebat dan luar biasa. Mungkin sebab cuti, jadi pawagam pun masih penuh. Momentum filem ini kuat.

“Sangat luar biasa. Saya hilang kata. Syukur, alhamdulillah. Satu saja, saya nak mengucapkan terima kasih kepada penonton Malaysia, Singapura dan Brunei yang sentiasa memberikan sokongan kepada filem saya. Insya-Allah, saya cuba memberikan yang lebih baik untuk filem akan datang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau turut bersyukur melihat filem ini seringkali menjadi medium bualan dan perbincangan bagi sesetengah pihak termasuk golongan intelektual seperti doktor, pensyarah universiti.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pun bertitah suruh rakyat menonton filem ini, ambil manfaat daripada filem ini, kembalikan jati diri Melayu,” katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, jumlah kutipan kutipan Mat Kilau bagi tayangan di Malaysia dianggarkan lebih RM60 juta.

“Soal kutipan di Malaysia, kena semak. Saya yakin di Malaysia saja lebih RM60 juta,” katanya.

Terdahulu, kutipan filem Mat Kilau sudah melepasi jangkaan Syamsul apabila sudah berjaya mencecah RM61 juta dalam tempoh 17 hari tayangan pada 9 Julai.

Jumlah kutipan yang diraih kini berjaya memecah rekod filem paling laris di Malaysia iaitu Munafik 2 yang juga arahan Syamsul pada 2018 sebanyak RM48 juta.

Author

Pilihan Editor