KUALA LUMPUR: Teras Legacy iaitu agensi di bawah Zurich Malaysia dan Persatuan OKU Sentral pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyokong pemerkasaan golongan kurang upaya melalui peluang pekerjaan serta perlindungan insurans.
Ketua Pegawai Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd Hamid berkata, pemerkasaan ini dijalankan melalui program Sinar Senyum Al-Shams yang menyaksikan kerjasama itu memudahkan akses perlindungan insurans dan pekerjaan sebagai perunding insurans kepada Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kami menyasarkan 4.9 juta OKU di seluruh negara untuk tampil merebut peluang ini supaya kita dapat lindungi mereka dan sekarang ini, kita hanya membuat perjanjian dengan OKU Sentral.
“Kita juga akan memberi peluang pekerjaan sebagai perunding insurans kepada golongan OKU sebab ini adalah penting kerana kita mahu mereka berdikari dan hidup dengan lebih terjamin,” katanya pada majlis Pelancaran dan Perjanjian Persefahaman antara Teras Legacy dan Persatuan OKU Sentral.
Nazrul berkata pihaknya menyasarkan 10 peratus daripada golongon OKU menjadi perunding dalam pakej ini dan akan membimbing serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan.
Pakej ini dikenakan bayaran serendah RM50 sebulan yang menawarkan perlindungan berjumlah RM50,000 hingga RM350,000 dengan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pencarum malah ahli keluarga.
Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi pula berkata, pihaknya amat bersyukur kerana ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan bertahun lamanya oleh golongan itu.
“Jadi ini adalah sesuatu perkara yang sudah lama kami lalui dan ibu bapa kami gusar apabila mereka tiada nanti.
“Namun dengan adanya pakej ini, kesemua OKU daripada tujuh kategori akan diberi peluang untuk mendapat perlindungan insurans tanpa perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor,” katanya.
Beliau juga berkata perjanjian itu akan memberi peluang kepada OKU untuk berdikari dengan menyokong diri mereka bekerja dan pekerjaan ini boleh dilaksanakan secara online sahaja.
Tujuh kategori OKU yang diiktiraf JKM adalah kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, kurang upaya pertuturan, kurang upaya pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai. – BERNAMA