BANGKOK: Tiada kes cacar monyet baharu dilaporkan di Thailand sejak kes pertama dikesan di negara itu minggu lepas.
Ketua Kesihatan Wilayah Phuket Dr. Kusak Kukiattikoon berkata seramai 14 individu yang dianggap berisiko tinggi kerana merupakan kontak rapat dengan pesakit pertama negara itu, disahkan negatif ujian saringan cacar monyet.
“Keputusan untuk tujuh individu yang lain dijangka diperoleh dalam masa satu atau dua hari,” katanya.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa kesihatan awam sedang mempergiat pengesanan kes aktif selepas seorang warga Nigeria berusia 27 tahun, yang telah tinggal lebih tempoh visanya di Thailand, disahkan menghidap cacar monyet di bandar peranginan Phuket pada 18 Julai.
Bagaimanapun, lelaki itu menghilangkan diri sebaik dimaklumkan keputusan positif saringannya. Dia berjaya ditemukan di Phnom Penh, Kemboja pada Sabtu dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam dan agensi berkaitan untuk menyediakan pelan tindakan bagi menguruskan risiko cacar monyet di negara itu.
Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Prayuth telah mengarahkan pejabat imigresen untuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk negara terutama untuk pelancong dari negara berisiko tinggi.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Awam juga meningkatkan amaran cacar monyet ke peringkat nasional dalam usaha menambah keyakinan orang ramai terhadap kecekapan sistem kesihatan negara.
“Orang ramai digesa untuk terus mematuhi langkah-langkah pencegahan global bagi mengelak penularan wabak COVID-19 dan cacar monyet,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet atau monkeypox sebagai “Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC)”.
Klasifikasi itu merupakan amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan WHO berikutan peningkatan kes di seluruh dunia.
Setakat ini, lebih 16,000 kes telah dilaporkan dari 75 negara, kata Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. – BERNAMA