KUALA LUMPUR: Penyanyi, Wany Hasrita selamat diijabkabulkan bersama kekasih hatinya, Al-Adib Fahmi dalam satu majlis dihadiri 300 jemputan malam tadi.
Apa yang menariknya, pelantun lagu Gurauan Berkasih itu memberitahu, atas persetujuan bersama suaminya mereka tidak pernah ‘declare’ kekasih namun malam ini mereka diumum sah suami isteri.
Mengenakan busana oleh pereka Altelia Amani, Wany mengejutkan peminatnya apabila memilih malam Jumaat sebagai malam penyatuan dua hati.
Dengan dua kali lafaz, Wany sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya yang juga seorang juruterbang.
Akad nikah disempurnakan oleh bapa Wany iaitu Hasbullah Hassan dan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah Petaling, Mat Syahruddin Al-Rasyid Mat Isa.
Wany bersyukur majlis selesai dengan sempurna dan mengakui sengaja merahsiakan hubungan mereka sepanjang tempoh bercinta.
“Tidak ada istilah ‘declare’ menjadi kekasih dalam perhubungan kami. Masing-masing saling memahami perasaan dan hati dan akhirnya memutuskan untuk membawa perhubungan ini ke fasa yang lebih serius.
“Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang. Tanggungjawab menjadi isteri dan dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.
“Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” katanya.
Berkongsi mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya yang juga bekerja dalam industri penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, hubungan mereka mula rapat sejak 2019.
“Kalau diikutkan saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi. Ketika itu saya mengenalinya melalui rakan baik saya yang juga sepupunya. Kenal macam tu saja.
“Waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi. Cuma, pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mengikuti antara satu sama lain di Instagram dan banyak berhubung di situ.
“Ada satu hari dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends dan saya pun boleh layan. Sejak itu, kami terus ‘ngam’ dan saling memahami dalam banyak perkara,” katanya.
Menurut Wany yang juga pemenang Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 31 pada 2018, dia dan Adib memilih untuk bertunang pada 26 Februari lalu sebelum mengakhiri perhubungan mereka di jinjang pelamin hari ini.