HomeMV+PendapatTRIS dibimbangi disalah guna pelarian UNHCR

TRIS dibimbangi disalah guna pelarian UNHCR

ANALISIS kewartawanan mendapati Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian atau Tracking Refugees Information System (TRIS) yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini masih boleh disalahguna dan dimanipulasi warga asing untuk mendapat kemudahan di negara ini.

Sistem sebegini terdedah bahaya kerana pelarian dan warga asing boleh memperolehi dokumen pengenalan diri, lesen menunggang motosikal dan memandu kenderaan selain berpeluang untuk mencari rezeki di Malaysia.

Pelarian berkenaan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Pelarian UNHCR juga dapat membuka akaun bank sendiri atau dengan kata lain boleh membuka perniagaan sendiri dan menyertai skim insuran dan takaful berdaftar untuk mendapatkan perlindungan.

Berpuluh tahun, penguatkuasa berdepan isu warga asing seperti Bangladesh, Kemboja yang menipu mendakwa diri mereka pelarian Rohingya, kad UNHCR diklon menggunakan maklumat palsu, jadi bagaimana sistem TRIS ini mampu menghalang penipuan berkenaan?

Sistem ini bagaimanapun memiliki ciri keselamatan dan pengesahan identiti berteknologi tinggi, kaedah pengecaman wajah dan pengesahan identiti ia disokong kerana memang wajar pergerakan warga asing dikawal.

Namun persoalan timbul jika warga asing berkenaan mengubah wajah mereka adakah sistem itu masih boleh cam wajah mereka?

Penggunaan sistem ini akan membolehkan kerajaan mengumpul maklumat pengenalan diri, keluarga, kesihatan, kebolehan, kemahiran, tempat tinggal.

TRIS juga memudahkan mereka untuk keluar ke negara ketiga atau
negara asal apabila keadaan mengizinkan dengan lebih tersusun kerana semua maklumat tentang mereka ada dalam sistem data kerajaan.

Namun amat bahaya apabila pelarian ini diberi hak sama rata seperti memperoleh lesen memandu dan akaun bank.

Dengan segala kemudahan ini, seolah kita menggalakkan pula pelarian memilih Malaysia sebagai rumah mereka dan boleh lakukan apa sahaja malah memanjangkan lagi tempoh masa mereka  tinggal di negara ini.

Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Cadangan penyelesaian segera adalah membuat ujian DNA bagi tujuan pengesanan pelarian dan warga asing yang berada dalam negara kerana daripada DNA kita boleh tahu negara asal mereka.

Author

Pilihan Editor