HomeBeritaDia bimbang rakyat tahu cerita sebenar - Azalina Othman

Dia bimbang rakyat tahu cerita sebenar – Azalina Othman

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu ada pemimpin bimbang rakyat tahu cerita sebenar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

Azalina yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) berkata, mana-mana orang jadi Perdana Menteri mestilah melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.

“Pelantikan Peguam negara adalah atas nasihat Perdana Menteri dan beliau seharusnya melantik ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya.

Taklimat Khas Presiden UMNO itu antara lain bertujuan menunjukkan solidariti parti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Azalina menambah, itu sebab kalau dilihat sejarah mana-mana negara demokrasi, Peguam Negara akan ditukar mengikut suara kepimpinan negara.

“Takkan nak tukar peguam pun tak boleh? Kalau sudah kata salah, tukar peguam 10 kali pun salah. Betul tak?

“Kalau sudah buat keputusan berapa kali tangguh pun keputusan sama, betul tak?

“Itu yang saya tidak faham, agaknya kan, yang pelik bin ajaib, dia tak nak orang tahu cerita sebenar,” katanya.

Menurut Azalina lagi, ceritanya mudah sahaja.

“Saya sudah jadi Ketua UMNO Bahagian sudah 20 tahun, mestilah Setiausaha Bahagian orang saya, mestilah Ketua Penerangan orang saya, sebab saya lantik.

“Tetapi Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Ketua Wanita, Naib dan Timbalan dipilih daripada bawah oleh ahli betul tak?

“Itu dalam prosedur politik, kami-kami ini pernah jadi Menteri, dan ada yang di sini, masih jadi menteri.

“Kalau bermula dengan Datuk Seri Najib, tidak akan berakhir dengan kita semua, sebab kuasa dia besar, kata orang Johor sebesarnya.

“Sewajarnya boleh tangguh dua ke tiga bulan tapi Tan Sri Shafee nak minta tangguh sehari nak tukar baju pun tak sempat sebab nak masukkan juga,” katanya.

Author

Pilihan Editor