Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
JURGEN Klopp memberikan komennya mengenai layangan kad merah yang diterima Darwin Nunez ketika menghadapi Crystal Palace.
Dia menilai penyerang Liverpool itu mendapat provokasi daripada pihak lawan.
Liverpool melayan kunjungan Palace di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berakhir seri 1-1.
Wilfried Zaha meletakkan Palace di depan 1-0 pada separuh pertama sebelum gol Luis Diaz pada minit ke-61 menyelamatkan The Reds dari kekalahan.
Liverpool terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-57. Darwin Nunez mendapat kad merah daripada pengadil akibat menanduk pemain pertahanan Palace, Joachim Andersen.
Ulang tayang memaparkan, Nunez berteriak ke arah pengadil sambil mengangkat kedua tangan. Andersen datang dari arah belakang dan memprovok Nunez. Penyerang Uruguay itu pun ‘naik angin’ dan menanduk muka Andersen hingga terjatuh.
Klopp juga menyesal sikap emosional Nunez yang terpengaruh provokasi lawan.
“Babak kedua bermula lagi dengan positif, tetapi mendapat kad merah adalah satu tamparan. Memang itu adalah kad merah, dia diprovokasi tetapi bukan itu yang harus dia lakukan.
“Kemudian kami menyamakan kedudukan empat minit kemudian. Berusaha keras dengan 10 pemain. Saya bangga dengan perjuangan mereka,” kata Klopp kepada Sky Sports.
Darwin Nunez dipastikan tersisih dalam dua aksi EPL dan perlu menjadi penonton ketika Liverpool berdepan melawan Manchester United (23 Ogos) dan Bournemouth (27 Ogos).