HomeBeritaRM525,000 BKM untuk penerima tanpa akaun bank di Nabawan

RM525,000 BKM untuk penerima tanpa akaun bank di Nabawan

NABAWAN: Sebanyak RM525,000 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperuntukkan kepada penerima BKM yang tiada akaun bank di daerah Nabawan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup berkata, jumlah itu adalah daripada RM718 juta BKM yang telah diluluskan untuk 795,906 penduduk Sabah tidak termasuk rayuan.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.23 juta diperuntukkan kepada 9,036 penerima BKM di kawasan berkenaan.

“Penerima tanpa akaun bank menerima bantuan itu pada Program Hebatkan Pensiangan: Mobile Community Services (MCS)

“Penerima BKM tiada akaun bank merekodkan penurunan tahun ke tahun, ini menunjukkan dengan akses perbankan melalui perkhidmatan BSN bergerak di Nabawan dan Sook serta kemudahan tiga mesin ATM di Sook, Keluarga Malaysia di Nabawan mula celik kewangan dan ramai penerima BKM telah berjaya membuka akaun simpanan.

“BKM ini merupakan inisiatif bantuan tunai langsung bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula dalam pascapandemik dan meringankan beban kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan sempena program MCS.

Mengenai MCS, Arthur berkata program tiga hari bermula hari ini yang menjelajah Nabawan dan Pagalungan berjaya membawa 41 agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk rakyat di kawasan pedalaman.

Beliau berkata antara perkhidmatan disediakan adalah pendaftaran lesen Kementerian Kewangan, pameran industri pembinaan, perkhidmatan kebajikan serta pelbagai program menarik untuk manfaat penduduk.

Author

Pilihan Editor