Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Nur Fazura buat julung kalinya bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert yang diuruskan oleh Icon Entertainment itu menghimpunkan selebriti tersohor tanah air seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie dan Ella serta penyanyi Indonesia.
Turut bakal berkongsi pentas adalah Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi serta Ahmad Dhani yang mengetuai Ahmad Band bersama isterinya, Mulan Jameela.
Tiket akan dijual pada 19 Ogos ini dengan harga tiket bermula dari RM147.
Fazura, 38, meluahkan rasa syukur kerana konsert itu akhirnya dapat juga direalisasikan.
Isteri pelakon Fattah Amin itu berkata, dia telah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat dikaguminya itu.
Dia yang pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti televisyen sendiri berkata, konsert anjurannya itu bagi meraikan peminatnya.
Fazura berkata, peminatnya sentiasa memberikan sokongan kepada kerjayanya dan juga rangkaian produk yang diasaskannya.
“Selain meraikan stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura,” katanya lagi.