WANGSA MAJU: Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim sedang giat pasang badan dipercayai untuk menjayakan watak bagi projek terbaharunya.
Bagaimanapun beliau mengelak untuk mengulas lanjut projek penggambaran berkenaan kerana sudah terikat perjanjian.
“Saya sebenarnya… tiga ke empat bulan lagi ada projek, sebab itu saya tengah buat badan,” katanya pada sidang media selepas mengendalikan majlis pelancaran Clix di sini.
Ketika diusik soalan MEDIA VARIASI adakah dilamar untuk watak pahlawan, pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 28, itu berkata, ia biarlah rahsia.
“Pahlawan, tak..itu saya tak pasti. Rahsia…,” selorohnya.
Fikry bagaimanapun memberitahu kerana menjaga ibunya, Bibi Zaleha, 74, yang sakit, terpaksa memilih projek yang sesuai.
“Tahun ini dan tahun seterusnya saya mahu fokus bidang pengacaraan, untuk bertahan dalam industri ini bukannya senang, bukan mudah.
“Bukan tidak berlakon, masih berlakon, tetapi saya beralih kepada minat saya dari kecil iaitu pengacaraan,” katanya yang sedang mengendalikan Dewi Remaja peringkat akhir pada 3 September ini di Astro Ria jam 9 malam.
Sementara itu, dua jelitawan menjadi pelopor wanita dalam memperkenalkan TV Android yang memerlukan wifi dan akaun langganan stesen televisyen (TV) berbayar, Clix.
Bagai memecahkan ruyung untuk mendapat sagunya, begitulah keberanian yang dilakukan oleh usahawan kecantikan, Khaty Halid dan Hani Diyana apabila rakan baik itu, berani membuka bisnes TV Android.