KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan yang menjadi mangsa buli, Nazrah Mohamed mendakwa isu buli dan gengsterism di MRSM sudah lama berlaku.
Perkara itu didedahkan di Facebook miliknya yang mendakwa kes telah berlarutan di MRSM tersebut sejak bulan Jun sehingga ke hari ini.
“Kami masih tidak nampak penyelesaian malah kes semakin menjadi-jadi dan bertambah serius yang mana anak kami dan beberapa pelajar lain berterusan menjadi mangsa perbuatan khianat dan gengsterism.
“Sebagai ibu bapa kami tidak boleh berdiam diri,” catatnya.
Nazrah turut berkongsi kronologi kes-kes yang berlaku di MRSM Kuantan di akaun Facebook miliknya.
Justeru, sehingga saat ini, pihaknya masih menunggu maklum balas dari pihak maktab dan pihak polis.
“Pihak MRSMKu begitu lembab dalam mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Sikap acuh tak acuh pihak Pengurusan MRSMKu tidak boleh diterima sama sekali.
“Kes-kes masih berulang dan sehingga hari ini telah melibatkan body contact. Adakah pihak MRSMKu nak tunggu sehingga ada kehilangan nyawa baru nak bertindak?
“Kami menuntut pihak MRSM Kuantan mencari pelaku tersebut segera dan mengenakan tindakan keras ke atasnya.
“Kami juga mahu perkara ini diselesaikan dengan segera kerana ia babitkan ‘body contact’ dan ianya bukan lagi kes gengsterism atau perbuatan khianat tetapi kes jenayah yang semakin menjadi-jadi di dalam MRSM Kuantan,” katanya, menerusi hantaran Facebook itu yang mendapat 21,000 tanda suka.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan isu itu kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil.