HomeBeritaKali pertama dan terakhir terima dana tambahan ketika era Najib - PBKAM

Kali pertama dan terakhir terima dana tambahan ketika era Najib – PBKAM

BANGI: Hari ini 4,423 pesara kakitangan kontrak Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBKAM) gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan elaun Bantuan Sara Hidup dari RM300 kepada RM500.

Ia adalah bantuan pertama diterima PBKAM sejak bantuan ini diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012.

Pengerusi PBKAM, Maimun Md Noor berkata, tiada dana sejak 10 tahun lalu, lebih teruk ketika pertukaran tiga kerajaan sejak 2018.

“Bayangkan selepas itu PKP, kami terpaksa gerak sendiri untuk bantu pesara KEMAS yang ditimpa sakit, hilang punca pendapatan dan lain-lain musibah.

“Hari ini rasa amat seronok kerana bila kami dengar ada kenaikan elaun RM200, syukur Alhamdulillah.

“Saya ucapkan PM (Ismail Sabri) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang begitu prihatin terhadap warga KEMAS khas PBKAM, menyambung usaha Najib dahulu,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dia ditemui selepas Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan 60 tahun KEMAS di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

PM bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Himpunan Perdana Sambutan 60 Tahun KEMAS.

Mengulas lanjut mengenai PBKAM, Najib pernah membantu pertubuhan itu mendapatkan dana tambahan bagi meneruskan aktiviti.

“Dana yang diberi Datuk Seri Najib ketika itu digunakan untuk membantu warga PBKAM yang sakit, yang lebih memerlukan dan meneruskan sebagai ahli jawatankuasa pemegang.

“Jadi, terima kasihlah kepada Datuk Seri Najib, walaupun ketika ini berasa sedih la juga, keputusan (mahkamah) yang diambil memang mendadak,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri hari ini mengumumkan kenaikan dua elaun warga KEMAS.

Kerajaan bersetuju menaikkan elaun Bantuan Sara Hidup dari RM300 kepada RM500 membabitkan 4,423 pesara PBKAM.

Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun Bantuan Sara Diri dari RM500 kepada RM800 membabitkan 9,439 Pembantu Masyarakat.

Usaha itu katanya, bagi menghargai jasa, sumbangan dan tenaga warga KEMAS yang setia berkhidmat bakti mendokong dasar kerajaan khususnya luar bandar.

Pada program sama, Ismail Sabri turut bersetuju mendigitalisasikan Tabika atau Taska KEMAS dengan memperuntukkan RM8 juta untuk mendigitalisasi 800 buah Tabika atau Taska KEMAS sebagai permulaan.

Author

Pilihan Editor