HomeBeritaBank tidak selamat kerana sistem pemusatan?

Bank tidak selamat kerana sistem pemusatan?

KUALA LUMPUR: Isu duit lesap daripada sistem perbankan menimbulkan kebimbangan awam setelah banyak laporan awam diterima.

Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan dakwaan pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah yang mendakwa duitnya lesap RM13,000 dalam 30 minit setelah akaun CIMB miliknya digodam.

Pengasas Agenda Rakyat Malaysia, Datuk Dr Mohd Ramalan Yunus, berkata pihaknya sudah menjangkakan lama bahawa perkara ini akan berulang lagi.

Beliau sebelum ini menjadi wakil kepada 1,000 pemegang akaun bank CIMB yang mendakwa duit mereka lesap dari akaun mereka.

“Kerana isu ini, BigBoys mencadangkan agar sistem bank menggunakan sistem pengagihan (decentralized) maksudnya bukan sistem seperti sekarang pemusatan (centralized) yang amat mudah untuk digodam.

“Bank tidak selamat kerana sistem pemusatan hanya ada satu perisai di mana ia tidak selamat, semua data diletakkan setempat, selalu dimanipulasi, diubah suai dan mudah dieksploitasi.

“Berbeza dengan sistem pengagihan, ia menggunakan teknologi Blockchain di mana penggodam tidak mampu tembusi sehingga sejuta perisai.

“Sebab itu teknologi Blockchain lebih telus, lebih selamat, saya dah cakap lama kena beralih kepada wang digital tetapi bank masih lagi menggunakan sistem lapuk,” katanya.

Pada Februari lalu, CIMB mendakwa kesilapan pemprosesan oleh perkhidmatan pengiriman wang menyebabkan pemindahan dana yang dibuat kepada pelanggan dikreditkan secara berganda.

Ini menyebabkan dana akaun bank itu terjejas untuk mendapatkan semula jumlah pendua hingga akaun dibekukan.

Bagaimanapun, pada 28 Februari, 12 pemegang akaun yang terjejas memfailkan saman terhadap bank atas kesilapan itu kerana mereka beranggapan ia adalah kesalahan bank, bukan pelanggan.

Dalam kenyataan pembelaan, CIMB berkata, ia tidak melanggar sebarang kontrak dengan pemegang akaunnya kerana mereka bebas untuk mendebit atau menahan mana-mana akaun mengikut kehendak mereka kerana ia adalah sebahagian daripada terma dan syarat yang dipersetujui oleh pelanggan.

Author

Pilihan Editor