PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah mematahkan kegiatan penyeludupan dagangan rentas sempadan membabitkan cukai sebanyak RM1,801,020 menerusi Op Kontraban 1 dan 2 sepanjang Mei hingga Julai lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Mohammad Sabri Saad berkata rampasan berkenaan melibatkan kesalahan cubaan menyeludup masuk ke dalam negara empat kontena berisi minuman keras, produk tembakau dan air Zam Zam serta kesalahan menyimpan, menjual rokok serta arak seludup.
“Empat kontena dirampas di Pelabuhan Klang pada 25 Mei, 8 Jun dan 21 Jun lepas manakala pada 18 hingga 27 Julai, Op Kontraban 2 dibuat di sekitar Lembah Klang hasil gabungan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kontena tersebut masing-masing berisi barangan tidak berkastam iaitu minuman keras dengan jumlah cukai RM902,000 jenama Lambo; tembakau kunyah jenama Premium Zarda dan Shimla Pan Masala (RM58,640) serta air Zam Zam (RM180,380),” katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Kelana Jaya di sini hari ini.
Mohammad Sabri berkata kesemua rampasan seludup adalah barangan larangan import dan tidak seperti yang diisytiharkan di dalam bil muatan.
Menerusi Op Kontraban 2, Mohammad Sabri berkata pihaknya mematahkan rantaian aktiviti menyimpan dan menjual rokok dan minuman keras melibatkan anggaran cukai sebanyak RM660,000.
“Rampasan dan tangkapan melibatkan aktiviti pembekalan, penjualan dan penyimpanan rokok dan arak seludup yang dipercayai dibawa masuk melalui laluan laut dan udara.
“Seramai 18 individu warganergara tempatan berusia 20-an hingga 40-an ditahan dan 30 kertas siasatan telah dibuka bagi tujuan pendakwaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan (d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Mohammad Sabri memaklumkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, JKDM Zon Tengah berjaya melakukan 866 sitaan melibatkan pelbagai kesalahan antaranya penyeludupan rokok, minuman keras, kenderaan dan dadah dengan nilai sitaan lebih RM100 juta termasuk cukai. – BERNAMA