HomeSukanKehadiran Marc Vales legakan Aidil

Kehadiran Marc Vales legakan Aidil

Oleh: FATTAH RAZZAQ

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak, gembira dengan kehadiran semula Marc Vales yang kembali memperkuatkan benteng pasukan walaupun gagal meraih mata penuh di laman sendiri apabila diikat Sabah FC 1-1, malam kelmarin.

Pengendali dari Singapura itu juga melihat Vales mampu bertindak selaku ketua di dalam padang serta mampu memperkemaskan corak permainan pasukan di bahagian pertahanan.

Beliau turut memberikan pujian keupayaan Vales yang boleh beraksi baik walaupun sudah tiga bulan tidak beraksi secara kompetitif sejak mendapat kecederaan di bahagian lutut.

“Vales telah pamerkan persembahan baik dengan Akmal Zahir di bahagian pertahanan tengah serta membantu dua lagi pemain muda iaitu Azmeer dan Heshamudin.

“Semua org nampak dia beraksi cemerlang walaupun ada melakukan satu hantaran yang salah tetapi selain itu dari segi aspek permainan, kita harus berikan kredit terhadap prestasinya.

“Ini antara sebab utama Marc perlu kembali di benteng pasukan kerana dia boleh bertindak mengarah serta menyusun corak permainan pasukan serta memberikan keselesaan dan keyakinan kepada pemain muda untuk beraksi lebih baik.

“Kami tidak ada ketua sebenarnya dalam pasukan sepanjang musim ini yang menjadi masalah kepada pasukan dan ini karakter yang saya mahukan dari pemain.

“Musim lalu saya ada Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Kpah Sherman dan Renan Alves yang sentiasa mengambil tanggungjawab tetapi musim ini saya cuma ada Marc, harap akan lebih ramai pemain yang sedia ke hadapan,” katanya.

Pemain kebangsaan Andorra terpaksa berehat panjang sejak aksi terakhir berdepan Negeri Sembilan pada 17 Mei lalu yang membuatkan dia tidak dapat membantu Kedah di pentas Piala AFC.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Ronald Ngah meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-6 sebelum bekas pemain Kedah, Mohd. Farhan Roslan menyamakan kedudukan pada lewat permainan.

Menyentuh mengenai persembahan Kedah secara keseluruhan, Aidil berasakan pasukannya layak untuk memenangi perlawanan itu namun mereka tidak bernasib baik.

Namun, dia tetap berbangga mereka mampu berikan saingan kepada pasukan di tangga kedua Liga Super itu ketika mereka masih berdepan dengan banyak masalah kecederaan.

“Malam ini, kami ada beberapa peluang keemasan untuk dapatkan dua ke tiga gol lagi dan bila kami tidak ambil peluang, kesempatan ini akan diambil lawan untuk menjaringkan gol, inilah bola sepak.

“Di separuh masa pertama, kami bermain baik dengan kuasai sebahagian besar perlawanan namun kurang konsisten di babak kedua apabila kerap melakukan hantaran ke belakang.

“Bagaimanapun, pemain telah berikan segalanya dan kami tidak bernasib baik kerana gagal dapatkan tiga mata, cuma aspek positifnya, kami masih boleh bagi saingan walaupun tanpa pemain seperti Dechi Marcel manakala Roland Ngah yang tetap beraksi walaupun cedera,” katanya.

Author

Pilihan Editor