Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun tidak mengeluarkan karya baharu, penyanyi berbakat Indonesia, Keisya Levronka tampil dengan single baharu berjudul Tak Ingin Usai yang telah dilancarkan di bawah pengurusan Universal Music Indonesia pada 13 Mei lalu.
Lagu itu merupakan buah tangan keempat Keisya Levronka selepas mengeluarkan Jadi Kekasihku Saja pada Julai 2020, Tergesa (September 2020) dan Lagu Untuk Hari Ini (November 2020).
Gadis jelita berusia 19 tahun ini antara salah seorang penyanyi muda yang aktif mengeluarkan karya baharu buat peminat setianya.
Menurut Keisya Levronka, single Tak Ingin Usai bercerita mengenai hubungan percintaan yang memang tidak boleh dipaksa dan berpisah adalah jalan terbaik walaupun hal itu berat untuk dilakukan.
“Pada pandangan saya, Tak Ingin Usai ini menceritakan hubungan yang terlerai akibat keputusan sebelah pihak.
“Perpisahan itu turut menyebabkan pasangannya itu gagal meneruskan kehidupan, berasa hancur, menangis, tapi berusaha menerima takdir dan reda.
“Bagaimanapun individu itu tetap berharap agar suatu hari nanti bakal dipertemukan lagi,” ujar pada sidang media single itu di negara ini yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Di Indonesia, Keisya pantas mencipta fenomena dan mudah diterima ramai apabila karakter suara dan vokal unik yang dimiliki menjadi senjata utama dalam dunia nyanyian.
Menariknya mengenai single itu, Keisya berkerjasama dengan seorang penyanyi yang juga penulis lirik berbakat yang sedang meningkat naik, Mario G Klau manakala Tohpati bertindak sebagai komposer.
Lagu bertemakan percintaan ini sangat menarik dengan tema pop balada yang meruntun jiwa pendengar selain bait-bait liriknya yang begitu sarat dengan mesej menyentuh hati dan pesanan.
Bercerita mengenai proses rakaman lagu itu, Keisya berkata, dia tidak mengambil waktu yang lama untuk memilih lagu Tak Ingin Usai sebagai pertaruhan terbaharunya.
“Perjumpaan untuk memilih lagu ini sehingga sesi rakaman berlangsung dalam tempoh yang singkat. Walaupun rakaman pernah tertunda dua bulan kerana faktor kesihatan saya, tapi selepas itu kami cuba selesaikan dengan segera.
“Sejujurnya selepas saya dengar lagu ini, saya terus jatuh cinta, dan tak sangka Mario yang cipta lagu ini. Sejujurnya, kami belum pernah berjumpa sampai sekarang, saya ingin bertemu dengannya, saya pengemar dengan lagu-lagunya,” katanya.
Untuk rekod, muzik video dan lirik video Tak Ingin Usai sudah meraih 135 juta tontonan di YouTube sehingga 16 Ogos lalu.
Malah lagu terbabit turut mendapat perhatian ramai selebriti tempatan yang menyanyikan semula lagu itu mengikut rendasi masing-masing.
Antaranya ialah Nabila Razali, Dalia Farhana, Aina Abdul, Nuha Bahrin, Aziz Harun, Tabby Dolla, Syasya Dolla, Meer Nash, Wani Kayrie dan Athalia.
Lebih membanggakan Keisya turut meraih Anugerah Emas daripada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengiktirafan pencapaian single Tak Ingin Usai di platform digital di Malaysia.