KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan dua individu untuk membatalkan saman yang difailkan penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana terhadap mereka, berhubung dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.
Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, 38, selaku plaintif berkata Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee yang menolak permohonan itu, turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos RM3,000 kepada Siti Nordiana.
“Mahkamah menolak permohonan itu atas alasan antaranya terdapat asas fitnah dalam pernyataan tuntutan plaintif dan menetapkan 27 Sept untuk pengurusan kes,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding kes secara dalam talian (Zoom).
Dua individu itu adalah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 44, dan jurusolek artis bebas Razidah Ahmad Senusi, 43, masing-masing defendan keempat dan kelima, telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut pada 24 Jan lepas.
Pada prosiding hari ini, Sam Musyadzafar diwakili peguam Zeti Zulfah Zulkifli @ Hassan manakala Razidah diwakili Muhammad Aliff Haiqal Roslan.
Selain kedua-dua defendan itu, Siti Nordiana turut menyaman Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, dan Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura, selaku defendan pertama sehingga ketiga.
Menerusi pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai tahun lepas kira-kira 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan oleh Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Dakwa Siti Nordiana, kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Juara Gegar Vaganza musim kedua itu mendakwa, kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun Youtube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.
Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai, serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk. – BERNAMA