PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menetapkan, pusat beli-belah barangan teknologi digital, MARA Digital Mall akan terus beroperasi setiap hujung minggu.
Ia bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan MARA Digital Mall diteruskan.
Justeru, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengesyorkan MARA Corporation (MARA Corp) menganjurkan lebih banyak program membabitkan penyertaan belia, setiap hujung minggu.
Katanya, program seumpama itu akan dapat mempromosikan lagi pusat beli belah berkenaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya nak syorkan kepada MARA Corp kalau boleh hujung minggu minta kerjasama DBKL tutup jalan di depan MARA Digital.
“Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan MARA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Katanya, penganjuran program untuk belia seperti itu sekali gus membantu generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.
Sementara itu, MARA Corp menyatakan kesediaan melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama DBKL.
Satu perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan diadakan bagi memperincikan syor berkenaan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Mall bersama Mahdzir dan beberapa pegawai tinggi MARA.
Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan MARA meneruskan projek Digital Mall itu bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).
Beliau mendapati peniaga yang ada di MARA Digital Mall mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.
Untuk rekod, MARA Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2015.