OLEH: ARRIAN ZAYNE
KUCHING: Tajuk laporan sebuah media arus perdana yang kurang tepat berhubung ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong disifatkan tidak menjaga sensitiviti para atlet yang banyak meraih kemenangan sebelum ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyelar serta terkilan terhadap tindakan akhbar nasional itu yang menggambarkan atlet terjun kelahiran Sarawak itu tidak cemerlang hingga gagal menyumbang pingat dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.
“Anda semua wartawan di sini… ada banyak cara untuk menghasilkan penulisan yang baik untuk individu yang selama ini mewakili negara,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres Antarabangsa Psikologi Sukan Persatuan Asia-Pasifik Selatan (ASPASP) Kesembilan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Kuching di sini, hari ini.
Mengakui penjelasan beliau bukan kerana fanatik terhadap Pandelela namun atlet yang sebelum ini meraih kemenangan untuk Malaysia tidak wajar ujarnya dilabel demikian menerusi penulisan.
“Saya bukan fanatik atau terlalu menyokong atlet kita… Tidak kisah ada beliau atlet Sarawak atau atlet Malaysia, kita tidak melayan hero negara kita sebegitu, hanya kerana mereka tidak memenangi pingat,” tegasnya.
Menurut beliau apa yang dimaksudkan oleh tajuk laporan berita itu seolah-olah memperlekehkan kredibiliti Pandelela tidak setanding sebelum sebelum ini.
“Gambaran yang dapat saya katakan seolah-olah kita menganggap beliau adalah ‘tebu’…habis manis, hampas dibuang,” tegasnya lagi.
Situasi demikian kata Abdul Karim bukan cara atlet negara wajar mendapat layanan kerana selama ini jasa dan pengorbanan Pandelela terlalu besar buat Malaysia.
“Keadaan ini… kita perlu memberi sokongan dan bersabar serta memahami prestasi seseorang atlet bergantung dengan keadaan semasa… ada turut naiknya,” jelasnya sambil mengakui Pandelela telah beraksi sehabis baik semasa di Sukan Komanwel 2022.