Oleh: FATTAH RAZZAQ
KUALA LUMPUR: Berita baik buat peminat fanatik kumpulan muzik legenda dunia iaitu Michael Learns To Rock (MLTR) di negara ini apabila mereka akan mengadakan konsert di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 22 Oktober depan.
Kunjungan kumpulan dari Denmark itu bagi persembahan satu malam sempena jelajah konsert iaitu Konsert MLTR Back On The Road Tour Live in Malaysia 2022 anjuran MIC Entertainment Group .
MLTR yang dianggotai Jascha Richter, Mikkel Lentz dan Kare Wanscher cukup terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Take Me To Your Heart, 25 Minutes, That’s Why You Go Away dan Paint My Love.
Mereka yang mula aktif sejak 1988 itu telah menghasilkan sembilan buah album rakaman studio dan 19 album kompilasi.
Seiring dengan populariti lagu mereka, MLTR berjaya merangkul pelbagai anugerah emas, platinum dan multi-platinum di man mencatat jualan melebihi 11 juta album di peringkat global.
Pada masa sama, lebih enam juta lagu-lagu kumpulan tersebut dimuat turun secara berbayar.
Muzik malar segar MLTR masih bertahan sehingga kini dan terus menjadi pilihan peminat untuk distrim dan ditonton menerusi platform digital di seluruh dunia.
Sejak kemunculan mereka, MLTR juga sering memenangi pelbagai anugerah di banyak negara dan mereka telah mengadakan lebih daripada 600 konsert di pelbagai negara.
Sehingga kini anggota kumpulan tersebut masih teruja untuk menghiburkan peminat mereka di seluruh pelosok dunia.
Buat peminat MLTR, dapatkan tiket anda segera untuk menonton konsert MLTR Back On The Road Tour Live in Malaysia 2022 di www.rwgenting.com atau my.bookmyshow.com sekarang.
Tiket-tiket berharga RM638 (VIP), RM588 2 (PS1), RM388 (PS2), RM 238 (PS3) dan RM158 (PS4) di mana semua harga tiket dikenakan yuran pemprosesan sebanyak RM4.
Pakej hotel turut ditawarkan kepada peminat yang ingin menonton konsert itu sambil bercuti di Resorts World Genting dengan harga RM1,358 (VIP), RM1,278 (PS1) dan RM1,008 (PS2).
Setiap pakej disertakan dengan dua keping tiket konsert, penginapan satu malam di Bilik Deluxe, Grand Ion Delemen Hotel dan baucar bernilai RM150 untuk makanan dan minuman.
Bagi maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.iondelemenhotels.com atau hubungi talian 03-64332299 untuk sebarang pertanyaan atau like dan follow MIC Entertainment Group di Facebook menerusi www.facebook.com/MICEntertainmentGroup untuk mengetahui berita dan perkembangan terkini.