KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Noor Azman Rahman sebagai setiausaha agung badan induk itu yang baharu, berkuat kuasa 1 Sept.
FAM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Noor Azman yang ketika ini menyandang jawatan koordinator presiden di FAM, adalah susulan peletakan jawatan Mohd Saifuddin Abu Bakar.
Noor Azman, 55, bertugas sebagai koordinator presiden FAM sejak 2018 setelah Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai presiden.
Beliau juga merupakan naib presiden MUSA pada 2012 sebelum menyandang jawatan setiausaha agung MUSA selama tiga tahun dari 2015 hingga 2018.
Selain itu, beliau juga pernah terlibat dalam beberapa jawatankuasa tetap FAM, antaranya sebagai Ahli Jawatankuasa Media (2010-2013), Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai (2014-2018) dan Ahli Jawatankuasa Pertandingan (2018-2019).
Dalam pengurusan pasukan, Noor Azman pernah menjadi pengurus pasukan Liga FAM Melaka pada 2013, penolong pengurus pasukan Liga FAM Melaka (2014) serta penolong pengurus pasukan futsal kebangsaan dari 2014 hingga 2017.
Pada 23 Ogos lepas, FAM menerima peletakan jawatan Mohd Saifuddin yang mahu menumpukan kepada kerjayanya di peringkat antarabangsa. – BERNAMA