HomeBeritaSaya tak jumpa PM, beliau tiada idea selesaikan masalah - Mahathir

Saya tak jumpa PM, beliau tiada idea selesaikan masalah – Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan yang mengatakan beliau ada bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata hanya bertemu sekali sahaja Ismail Sabri sebelum beliau menjadi PM.

“Sebelum jadi PM, saya ada jumpa beliau, saya ada beri nasihat sikit tetapi lepas beliau jadi PM tiada.

“PM seorang pemimpin yang tiada prinsip, tiada idea, kalau kita jadi PM kita kena ada fikiran yang boleh solve problem.

“Beliau seorang yang tidak boleh selesaikan masalah, banyak masalah ketika ini seperti ekonomi, sosial, politik dan hubungan luar negara.

“Saya pernah dengar Duta-duta asing kata ini kerajaan apa nak jumpa PM pun tak boleh, pelabur hendak melabur nak jumpa PM pun tak boleh, dilewat-lewatkan jumpa.

“Ada yang minta duit pula, dunia pandang hina terhadap kita, pemimpin yang ada sekarang ini tidak tahu buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Himpunan Nasional 2022 yang dianjurkan oleh Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat.

Turut hadir Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim.

Himpunan yang dihadiri oleh hampir 2,000 peserta dari seluruh negara itu julung kali diadakan oleh Berjasa Malaysia pada peringkat nasional.

Mahathir dalam majlis itu berkata, Gerakan Tanah Air memilih orang yang tidak dipalit dengan keburukan parti yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, Gerakan Tanah Air menyatukan orang Melayu yang bersih dan mengutamakan bangsa, negara dan agama.

Author

Pilihan Editor