SEPANG: Jaguh olahraga negara Muhammad Ziyad Zolkefli menyifatkan kemenangannya menggenggam pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11, Solo, Indonesia sebagai hadiah hari lahir anak lelakinya.
Pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 itu sememangnya tidak menyangka dapat menyumbang pingat pertama buat negara bagi acara lontar peluru F20 (masalah intelektual) di temasya tersebut.
“Saya menang pingat pada 1 Ogos, hari kelahiran anak lelaki saya, memang ini hadiah kemenangan buat anak saya Thariq Xavier,” katanya yang gembira disambut isteri dan ahli keluarga ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Beliau yang sanggup meninggalkan isterinya yang sedang sarat mengandung untuk beraksi di temasya berkenaan demi negara turut mendedikasikan pingat tersebut buat isterinya Zafira Nasir.
Muhammad Ziyad juga memaklumkan, kemenangan yang diperoleh akan menjadi pembakar semangat buatnya untuk menambah koleksi emas di Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2023 di Dubai.
“Selepas ini mungkin saya hanya akan rehat dua ke tiga hari sahaja sebab saya nak pulun untuk kejar emas seterusnya untuk temasya sukan tahun hadapan.
“Sasaran saya juga nak kekalkan gelaran emas saya untuk APG ke-12 di Kemboja,” katanya.
Muhammad Ziyad meraih pingat emas keempat berturut-turutnya di APG sejak edisi 2013, dengan lontaran sejauh 16.92 meter (m), bagi acara lontar peluru lelaki F20. – BERNAMA