TAWAU: Sabah akan bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi meningkatkan kemahiran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperkukuh kekuatan dalam menangani serangan terhadap aplikasi serta sistem kerajaan negeri.
Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Zainudin Aman berkata kerajaan negeri akan menandatangani memorandum persefahaman dengan CyberSecurity Malaysia dalam tempoh terdekat.
“Kami (pihak kementerian) telah mengadakan lawatan ke CyberSecurity Malaysia baru-baru ini, bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) serta Sabah Net, ini antara usaha untuk memastikan perkhidmatan awam negeri meningkatkan kemahiran ICT.
“Selain itu untuk menghalang serangan siber yang ditujukan kepada semua laman web, aplikasi serta sistem kerajaan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar ICT Sektor Awam negeri 2022 Peringkat Daerah Tawau di sini hari ini.
Menurut Zainudin pewujudan memorandum itu juga akan dapat melatih kepakaran yang ada di Sabah sebagai pakar dalam bidang forensik serta sekuriti siber.
“Kami cuba memastikan bahawa pakar ini dapat dilatih dan diletakkan di setiap kementerian, ini semua sebagai persediaan berhadapan sebarang kemungkinan dari musuh siber pada bila-bila masa.
“Ancaman memang ada, tetapi setakat ini masih boleh diatasi,sebab itu kami dalam fasa memperhebat lagi kekuatan supaya tidak ada yang mampu merosakkan aplikasi atau sistem kerajaan negeri,” katanya lagi.
Sementara itu, Zainudin berkata semua penjawat awam perlu menitikberatkan kepentingan menggunakan teknologi digital agar dapat melaksanakan pembahagian dalam perkhidmatan awam dengan berpaksikan 3R iaitu Revitalize (Giatkan), React (Reaksi), Responsible (Bertanggungjawab). – BERNAMA