KUALA LUMPUR: Bekas pegawai Kementerian Kewangan mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa pernyataan saksinya bagi perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didraf oleh dua pegawainya ketika itu tanpa kehadirannya.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata pernyataan itu didraf dua individu yang mengendalikan bahagian pinjaman.
“Ia didraf oleh pegawai saya tetapi tidak di hadapan saya. Saya hanya diberikan dokumen itu,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion daripada 1MDB.
Saksi itu membuat kenyataan tersebut apabila ditanya peguam sama ada beliau menyediakan pernyataan berkenaan.
Muhammad Shafee: Kamu tidak tahu siapa yang mendrafnya?
Siti Zauyah: Saya tahu beberapa nama, Afidah dan Azmida. Mereka yang mengendalikan bahagian pinjaman.
Saksi itu turut mengakui bahawa pernyataan itu diberikan kepadanya pada saat akhir sehingga beliau tidak cukup masa untuk menelitinya terlebih dahulu.
Muhammad Shafee: Adakah semua yang dinyatakan dalam pernyataan itu dalam pengetahuan kamu?
Siti Zauyah: Saya tidak tahu sama ada dalam pengetahuan saya.
Peguam berkata adalah baik saksi itu “berkata benar” tentang siapa yang mendraf pernyataan saksi tersebut.
Muhammad Shafee kemudian membaca muka surat akhir pernyataan saksi Siti Zauyah setebal 40 muka surat itu yang sebelum ini dikemukakan ke mahkamah sebagai bukti, khususnya ayat yang wanita itu menyatakan pernyataan saksi itu adalah benar berdasarkan pengetahuannya.
“Tetapi sebenarnya, butiran yang dimasukkan dalam pernyataan kamu, kamu tidak tahu keseluruhannya adalah benar, tepat dari pengetahuan peribadi kamu?” soal peguam itu.
Siti Zauyah: Ya.
Sejurus selepas itu, peguam memohon prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkannya berbincang perkembangan terbaru itu dengan pihak pendakwaan.
Semasa mahkamah berehat seketika, Najib yang kini menjalani hukuman penjara penjara 12 tahun serta didenda RM210 juta kerana kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, dilihat memasuki bilik bersambung dengan bilik perbicaraan, yang dikawal oleh beberapa pegawai penjara.
Terdahulu, ketika prosiding bermula 10.42 pagi ini, Najib yang berpakaian sut biru dilihat duduk di kandang tertuduh tanpa digari.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA