KUALA LUMPUR: Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi venue pilihan bagi perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Sept ini, demikian menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
MFL, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan keputusan itu susulan permohonan untuk menggunakan Stadium Nasional mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hari ini selepas MFL bersama pihak pengurusan TFC dan JDT membuat pemeriksaan teliti terhadap keadaan padang bagi final edisi ke-32 itu.
Ketua Pegawai Eksekutif, MFL, Stuart Ramalingam, berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan PSM bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan padang dan dimaklumkan Stadium Nasional bersedia menjadi venue final Piala FA.
“Antara elemen yang menjadi perhatian MFL adalah keadaan padang Stadium Nasional dan kami mendapat jaminan daripada PSM bahawa mereka komited dan akan memastikan penjagaan padang di tahap terbaik menjelang aksi kemuncak itu nanti.
“Buat masa ini, Stadium Nasional satu-satunya stadium yang mampu memuatkan 80,000 penyokong dalam satu-satu masa dan selamat digunakan. Ini amat penting kerana kita tahu permintaan penyokong kedua-dua pasukan amat tinggi untuk menyaksikan final di stadium,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi, dalam kenyataan sama, mengalu-alukan kerjasama bersama MFL bagi penganjuran final Piala FA itu selain menyifatkan ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama Stadium Nasional sebagai hub sukan terbaik negara.
“Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasilitii di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang.
“Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu, padang Stadium Nasional sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dalam masa ke semasa kita akan menjalankan kerja-kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti,” katanya.
Mengikut perancangan awal, MFL ingin menganjurkan final Piala FA pada 27 Ogos ini, namun penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 menyaksikan perubahan tarikh terpaksa dilakukan.
Berikutan tarikh final Piala FA ditetapkan pada 10 Sept, MFL terpaksa mengemaskini semula jadual Liga Super dan Liga Premier musim ini.
Mengenai penjualan tiket final Piala FA, MFL akan mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan TFC dan JDT terlebih dahulu sebelum hebahan dilakukan dalam waktu terdekat.
Sebagai rekod, saingan Piala FA kembali mewarnai kancah Liga-M sejak penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan edisi 2020 terpaksa dibatalkan sebelum tidak dianjurkan pada musim 2021 dengan Kedah pasukan terakhir bergelar juara pada edisi 2019. – BERNAMA