HomeMV+PendapatZahid masih berfikir UMNO 60 tahun lalu, gagal hayati semangat kedaulatan undang-undang

Zahid masih berfikir UMNO 60 tahun lalu, gagal hayati semangat kedaulatan undang-undang

SUDAH dijangka apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba meniupkan semangat ‘bossku’ yang telah dipenjara di Kajang, semalam.

Pelik apabila dalam kenyataan terbaharu, Ahmad Zahid mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam dengan mengaitkan jasa besar Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Ini menunjukkan Ahmad Zahid masih berfikir bahawa UMNO sekarang ini masih 60 tahun yang dulu, di mana Perdana Menteri boleh mencampuri urusan mahkamah dan menidakkan jenayah lampau seseorang.

Apa bezanya Najib dan pesalah-pesalah yang lain? Mereka adalah rakyat biasa yang tidak terlepas daripada hukuman jika melakukan kesalahan jenayah. Begitu juga Najib. Semua rakyat sama di sisi Perlembagaan Negara.

Mengapa Ahmad Zahid masih berfikiran Najib tidak ada ruang mempertahankan dirinya untuk dikemukakan bukti-bukti baharu dan mohon penangguhan? Umum diketahui bahawa Mahkamah Persekutuan bukanlah tempat untuk peguam bela mahu mengemukakan bukti baharu, tetapi ia adalah tempat untuk menyemak semula fakta kes jenayah yang telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, agar tidak terkhilaf atau sebagainya.

Mungkin bukti baharu, seperti cubaan mengaitkan suami Ketua Hakim Negara itu adalah begitu besar bagi Ahmad Zahid berbanding penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd oleh Najib.

Secara tidak langsung, rakyat melihat Ahmad Zahid yang mengetuai parti tertua di negara, dilihat gagal menghayati prinsip rukun negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Ini memberi signal bahawa segelintir kluster mahkamah UMNO masih lagi mempertahankan rakannya si kleptokrat yang telah dipenjara, atas kesalahan jenayah yang dilakukan.

Jika begitu sikap UMNO dalam isu ini, maka proses ‘rejuvenasi’ atau ‘meremajakan’ supaya dapat bersaing dan terus kekal relevan, tampak pudar.

Maka, peranan ini wajar digalas BERSATU untuk perjuangkan prinsip antirasuah, tolak kleptokrat, dan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan.

Putra Ahmad Abd Rahman
Penganalisis Politik

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian MEDIA VARIASI 

Author

Pilihan Editor